CHUA menjangka 20,000 pelawat akan mengunjungi pameran.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Armani Media Sdn Bhd (Armani Media) yakin KL International Halal Expo (KLIHE) bakal menjadi platform untuk membantu pengusaha produk halal tempatan mengukuhkan kehadiran di industri halal Malaysia dan luar negara.

Pengarah Urusannya, Datuk KK Chua berkata, pihaknya menampilkan KLIHE bagi memberi peluang kepada pengusaha meneroka industri halal di Malaysia yang dianggarkan lebih RM8 bilion.

Katanya, KLIHE adalah ekspo pertama yang dikendalikan sektor swasta dan berbeza yang dianjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

“Terdapat salah faham kerana mengganggap KLIHE bersaing dengan pameran halal yang lain, malah kami satu-satunya sektor swasta yang menganjurkan ekspo halal ini yang julung kali diadakan di Pusat Pameran Mid Valley.

“KLIHE bakal mewarnai industri halal di Malaysia dan kami memperuntukkan kira-kira RM300,000 bagi iklan dan promosi (A&P),” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, KLIHE pertama kali diadakan di negara ini dan akan berlangsung pada 13 dan 14 Januari ini.

Chua berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran 20,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung dan sehingga kini terdapat 60 pempamer yang akan mengambil bahagian.

Beliau berkata, selain Malaysia antara pempamer yang menyertai KLIHE dari Filipina, Jepun, Thailand, Korea dan Timur Tengah.

“Kami masih membuka peluang kepada pengusaha yang ingin menyertai KLIHE. Untuk sebarang pertanyaan boleh melayari klihe.my atau hubungi talian 03-61563366,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 9:07 AM