DARI kiri Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Andrew Gnanantham, Tan, Hafsah, Azizan dan Ressell berkongsi pengalaman dalam forum transformasi e-dagang, baru-baru ini.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia, penyedia platform beli-belah dalam talian yakin segmen e-dagang terus memacu Strategi Transformasi Digital Malaysia ke arah revolusi industri 4.0.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hans-Peter Ressel berkata, Lazada menjangka lebih dua juta pelanggan baru akan menerima pakai trend membeli-belah dalam talian tahun depan dengan peningkatan 30 peratus daripada aspek kekerapan beli-belah bulanan, sekali gus meningkatkan lagi pertumbuhan e-dagang negara secara keseluruhan.

“2017 adalah tahun luar biasa bagi industri e-dagang khususnya untuk Lazada Malaysia berdasarkan kejayaan yang kami raih melalui pelbagai cabang perniagaan.

“Kami menambah baik sistem logistik dengan inovasi berimpak tinggi, memperkenalkan #SemuaBolehMenjual untuk penjual yang membolehkan mereka mengembangkan perniagaan dalam talian masing-masing, menambah barangan kepada 100 juta SKU dan menggandakan tiga kali tawaran kepada pelanggan menerusi pengenalan jenama terkenal.

“Pada masa sama, kami teruja merevolusikan landskap beli-belah dalam talian di Malaysia tahun depan dan tahun seterusnya,” katanya pada sesi diskusi mengenai faktor mendorong kemajuan e-dagang pada 2018 di sini, baru-baru ini.

Sesi berkenaan dihadiri Pengarah Facebook Malaysia, Nicole Tan, Ketua Pegawai Operasi, Pos & Kurier Pos Malaysia Azizan Tarjo dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Menerusi sesi terbabit, ada lima faktor yang dilihat berupaya memberi impak tinggi memacu pertumbuhan sektor e-dagang menjelang 2018 seperti trend globalisasi yang dijangka membawa perusahaan kecil sederhana (PKS) ke tahap lebih tinggi.

“Jumlah PKS yang menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital bagi tujuan memasarkan produk ke peringkat antarabangsa diramal meningkat sekali ganda daripada 1,900 kepada 4,000 PKS tahun depan.

“Selain itu, program seperti #SemuaBolehMenjual juga membantu meningkatkan jumlah PKS di samping menawarkan khidmat membantu memperkukuh perniagaan mereka secara dalam talian kepada 45 peratus dengan memperkasakan PKS terbabit melalui latihan dan penyelesaian di setiap peringkat,” katanya.

Antara faktor lain dibincangkan adalah perdagangan sosial untuk masa depan, kategori baru dan program kesetiaan yang menarik pelanggan setia, Kecerdasan Buatan (AI) untuk membentuk semula perjalanan beli-belah pelanggan serta pengalaman beli-belah melalui Integrasi Dalam Talian ke Luar Talian (O2O).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:00 AM