LIN Yun Ling
HM Digital

Kuala Lumpur: Gamuda Berhad (Gamuda), syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur tempatan berada di landasan terbaik bagi mencapai sasaran jualan RM3.5 bilion untuk segmen pembangunan hartanahnya dalam tempoh tahun kewangan berakhir 31 Julai 2018.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lin Yun Ling berkata, syarikat melalui anak syarikatnya iaitu Gamuda Land Sdn Bhd menjangkakan sasaran terbabit boleh dicapai melalui pembangunan projek hartanah di pasaran luar negara dan tempatan.

Menurutnya, pada masa ini projek Gamuda di Vietnam, Singapura dan Australia menyumbang dua pertiga daripada keuntungan keseluruhan segmen hartanah Kumpulan manakala satu pertiga daripada projek hartanah di pasaran tempatan.

“Projek hartanah yang membabitkan pembangunan perbandaran di Vietnam iaitu Celadon City di Ho Chi Min dan Gamuda City di Hanoi akan menjadi peyumbang terbesar berikutan permintaan tinggi dan prospek ekonomi positif di Vietnam,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Gamuda di sini, semalam.

Segmen pembangunan hartanah Gamuda mencatatkan peningkatan jualan 14 peratus kepada RM2.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2017 berbanding RM2.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, Kumpulan itu turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kontrak pembinaan antara RM6 dan RM8 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pada masa ini, jumlah kontrak kami bernilai RM8 bilion di mana ia bakal membantu kami dalam menjana pendapatan dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Mengulas sama ada Kumpulan berminat untuk membida projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT 3), Yun Ling berkata, pihaknya bersedia membida projek itu namun menegaskan langkah terbabit masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Menurutnya, Kumpulan mahu memberi lebih fokus kepada pembinaan MRT laluan dua yang kini memasuki fasa kerja pembinaan di bawah tanah di mana mereka baru saja menyelesaikan pemetaan tanah bagi laluan terowong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:29 AM