HUSNI Salleh
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penubuhannya pada 2011 menjadi badan pelaksana dalam memperkasa agenda pembangunan Bumiputera di negara ini dengan pelbagai program yang dijalankan tanpa henti.

Usaha TERAJU boleh dianggap sebagai kerja keras yang berbaloi dalam memastikan Bumiputera turut berpeluang mendapat tempat dalam dunia hari ini khususnya bagi golongan usahawan dan pemilikan syarikat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Husni Salleh berkata, sejak ia ditubuhkan pada 2011, beliau mendapat mandat jelas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memimpin pembangunan dan pelaksanaan hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera dengan usaha penuh.

Beliau berkata, agenda ini mempunyai matlamat utama iaitu untuk memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan dan penyertaan seimbang dalam guna tenaga bidang bernilai tinggi serta pembangunan keusahawanan.

“Usaha dalam membangunkan golongan Bumiputera dalam segmen ekonomi bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan pembinaan asas yang berstruktur, sistematik dan koordinasi yang tepat supaya ia dapat membuahkan hasilnya.

“Perkara ini boleh dianggap sebagai sesuatu kejayaan besar dan penting kerana ia adalah hasil usaha sama TERAJU bersama 130 agensi kerajaan serta beberapa koridor ekonomi yang dilihat memberi impak positif setakat ini.

“Kita boleh lihat kebanyakan usahawan menyertai program di bawah TERAJU seperti Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), Dana Mudahcara dan Carve-out & Compete banyak menghasilkan usahawan Bumiputera yang cemerlang di peringkat domestik mahupun luar negara,” katanya dalam satu temu bual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini.

Antara program lain yang dijalankan TERAJU termasuklah Skim Jejak Jaya Bumiputera, Dana Pengembangan Perniagaan, Dana TeraS, Prosper Teras, Pelupusan Aset GLC dan Pusat Kecemerlangan Industri Pembinaan serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB).

Malah, kejayaannya turut dapat dibuktikan apabila 76 peratus daripada 800 syarikat di bawah program TERAJU menunjukkan prestasi perkembangan lebih baik dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan audit pakar perunding.

Husni berkata, ketika ini terdapat RM14 bilion pelaburan swasta oleh syarikat Bumiputera.

“Sejumlah 44,000 pekerjaan diwujudkan syarikat Bumiputera yang membuat pelaburan, kerajaan hanya bagi insentif saja. Malah, pembangunan juga dilaksanakan dalam komuniti masing-masing yang kini bukan lagi tertumpu di bandar utama sahaja.

“Sebelum ini, projek besar seperti MRT dijalankan di Lembah Klang dan kini ada juga projek dilaksanakan di Sandakan dan Tawau di Sabah yang beri manfaat kepada komuniti setempat secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, peruntukan untuk TERAJU bagi melaksanakan program adalah RM1.4 bilion dan pada masa sama pihaknya turut mengambil bahagian dalam dana mudah cara yang dilaksanakan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan diberikan kira-kira RM600 juta setakat ini.

“Secara keseluruhan, ia membabitkan RM2 bilion dan pada hari ini, TERAJU berjaya mewujudkan nilai RM116 bilion secara keseluruhannya mencerminkan bukti kejayaan Bumiputera pada masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:50 AM