ISMEE
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB), kumpulan media bersepadu terunggul di Malaysia yakin inisiatif perniagaan baru yang dilancarkan di bawah pelan transformasi perniagaan kumpulan itu pada 2016 bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan masa depan.

Melalui pelan itu, sumbangan hasil perolehan kumpulan daripada pengiklanan dan perdagangan digital dan bukan tradisional meningkat dua kali ganda bagi sembilan bulan pertama 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan gabungan daripada pengiklanan digital, perniagaan membeli-belah di rumah, e-dagang dan perkhidmatan langganan berasaskan over the top (OTT) meningkat daripada RM50 juta kepada RM123 juta untuk 2017.

Pengerusi MPB Tan Sri Ismee Ismail berkata, kumpulan komited untuk memberikan nilai kepada pemegang saham dengan memanfaatkan peningkatan permintaan e-dagang dan kandungan digital dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, kumpulan terus menyesuaikan diri dengan persekitaran operasi yang semakin mencabar dan berdaya saing dengan melaksanakan pelan transformasi perniagaan yang fokus terhadap penyampaian aliran pendapatan baru di samping melaksanakan perubahan struktur dalam organisasi bagi meningkatkan kecekapan.

“Kami percaya pelan itu akan membolehkan MPB menambah baik struktur kos dan mewujudkan nilai dalam jangka masa pendek dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Kamal Khalid berkata, kumpulan melaksanakan inisiatif perniagaan baru dan membuat perubahan struktur utama dalam organisasi merangkumi penyusunan semula organisasi, penyusunan semula sumber manusia dan pengurangan operasi kilang percetakan.

Menurutnya, antara inisiatif baru yang membuahkan hasil adalah perniagaan membeli-belah di rumah, CJ WOW SHOP yang menjadi penyumbang penting kepada pendapatan MPB dengan mencatatkan peningkatan pendapatan RM92.9 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017.

“Kumpulan juga mencatatkan peningkatan ketara dalam perolehan pengiklanan digital dengan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Rangkaian Radio MPB (MPBRN) merekodkan pertumbuhan lebih 100 peratus dalam pendapatan digital untuk 2017 berbanding tahun sebelumnya.

“Pendapatan bagi perkhidmatan pengguna berasaskan langganan seperti tonton juga meningkat sebanyak 27 peratus manakala portal pendidikan, FullAMark mencatat jualan dua kali ganda untuk tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:46 AM