KHOR
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd mengekalkan sasaran jualan sebanyak RM4 billion untuk 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen berkata, SP Setia memperoleh RM2.82 bilion jualan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2017 yang berakhir 30 September daripada sasaran jualan yang ditetapkan untuk tahun kewangan 2017.

“Projek antarabangsa merangkumi RM1.16 bilion atau 41 peratus daripada jumlah jualan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Menurutnya, daripada pecahan tempatan, sejumlah RM1.17 bilion datang dari kawasan tengah, sementara wilayah selatan dan utara menyumbang RM495.6 juta.

Secara keseluruhannya, SP Setia menjangkakan projek antarabangsanya akan memberi sumbangan yang lebih kukuh dan ia kekal optimistik untuk sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan semasa.

Melangkah ke hadapan, SP Setia berkata, ia akan memberikan tumpuan kepada pelancaran hartanah berharga sederhana di Lembah Klang.

Dalam perkembangan lain, syarikat itu berkata bahawa ia memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk memperoleh I&P Group Sdn Bhd pada harga RM3.65 bilion, dijangka akan diselesaikan pada suku keempat tahun kewangan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:35 AM