RITCHIE (enam dari kanan) bersama murid pada pelancaran kempen kembali ke sekolah, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hemtro.com.my


Petaling Jaya: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) yakin segmen e-dagangnya akan mencapai pertumbuhan signifikan selepas pasar raya besar itu menjalin kerjasama dengan penyedia platform beli-belah dalam talian Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Paul Ritchie berkata, pihaknya bekerjasama dengan Lazada dan setakat ini menunjukkan sambutan memberangsangkan terutama pada kempen 11 November (11.11).

Katanya, segmen e-dagang Tesco Malaysia pada masa ini menyumbang lebih dua peratus kepada keseluruhan jualan kumpulan.

“Walaupun jumlah itu kecil, tetapi kami menyaksikan pertumbuhan positif setiap tahun dan memandangkan kami pemain utama dalam e-dagang di pasaran runcit, Tesco Malaysia akan terus memenuhi keperluan pelanggan dalam pelbagai segmen.

“Pelanggan di Malaysia mula suka membuat pembelian secara dalam talian. Oleh itu, kami berusaha membuatnya lebih mudah untuk pelanggan,” katanya selepas pelancaran kempen Bijak Segak Kembali Ke Sekolah@ Tesco di sini, semalam.

Ritchie berkata, Tesco Malaysia meneruskan rancangan mengubah suai enam lagi pasar raya dengan wajah baru dan lebih segar seperti yang dilaksanakan sejak 2016.

Menurutnya, setakat ini 11 rangkaian diberi wajah baru dan pelanggan menyukai konsep baru itu yang dilihat memberi keselesaan kepada mereka.

Sementara itu, Ritchie berkata, sempena kempen terbabit Tesco Malaysia memperuntukkan RM1 juta bagi menawarkan baucar diskaun kepada pelajar.

“Sekarang Tesco Malaysia mempunyai 61 sekolah angkat dan 55,000 baucar diedarkan kepada murid supaya dapat membuat persediaan awal ke sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 1:52 AM