Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia merekodkan jualan baru pada 11 November lalu menerusi kempen Online Revolution dengan nilai dagangan kasar (GMV) lebih RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hans-Peter Resell berkata, pencapaian itu bermula daripada kempen Online Revolution yang meningkatkan keyakinan dalam e-dagang di Malaysia.

“Kami komited memberi pengguna Malaysia peluang beli-belah terbaik melalui kerjasama dengan rakan dagang jenama dan logistik dalam dan luar negara kami.

“Kami berharap jualan mega yang berlangsung bulan akan datang termasuk Big Baby Fair, Black Friday, Cyber Monday dan Online Revolution mendapat sambutan orang ramai,” katanya.

Resell berkata, penganjuran tahun keenam program berkenaan membuktikan komitmen syarikat membekalkan pelanggan dengan pengalaman membeli-belah yang lancar.

Menurutnya, sepanjang kempen sehari berlangsung pada 11 November lalu, laman web Lazada Malaysia mencecah 10 juta pengunjung dan rakan dagang Lazada merekodkan 1,400 transaksi per minit.

Lebih RM1.2 juta nilai pratempahan direkodkan melalui Lazada 11.11 Giftcards dan 34,000 telefon pintar dan gajet ditempah pelanggan dalam 24 jam.

Kempen beli-belah sebulan bermula 11 November hingga 14 Disember depan menawarkan promosi hebat seperti penjualan produk serendah RM1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 12:33 AM