SHAHRIL Mokhtar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan untuk menukarkan struktur pelaksana projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) daripada model Rakan Pelaksana Projek kepada model turnkey boleh menjimatkan perbelanjaan berbilion ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, ia akan membolehkan MRT Corp mendapatkan opsyen pembiayaan terbaik memandangkan 80 peratus kerja membabitkan kerja pengorekan dan penerowongan yang menelan belanja yang banyak.

“Jika kita berpeluang untuk menjimatkan wang rakyat, mengapa tidak kita gunakan kaedah ini? Kita perlu membuat lebih baik daripada Laluan 1 dan 2.

“Pada penghujungnya, semua ini adalah mengenai penyampaian dan kecekapan projek termasuk untuk mengurangkan kos pengorekan. Saya fikir kita semua mahu melihat kos yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai perkembangan MRT Laluan 3 di sini, semalam.

Shahril berkata, kontraktor turnkey akan dipilih melalui sistem tender terbuka yang mana bidaan akan bermula pada Rabu ini (taklimat tender) sehingga 25 Disember dan pembida yang berjaya akan diumumkan menjelang Februari tahun depan.

Bagi memasuki tender itu, bakal pemohon mestilah memenuhi keupayaan kewangan minimum dengan modal berbayar dan dana pemegang saham tidak kurang daripada RM5 bilion.

MRT Corp ketika bercakap mengenai cadangan pembiayaan itu berkata, ia harus merangkumi tempoh pembiayaan minimum selama 30 tahun dan tempoh moratorium selama lapan tahun manakala margin pembiayaan hendaklah tidak kurang daripada 90 peratus daripada jangkaan keseluruhan kos projek.

Kata Shahril, Hanoi, Jakarta dan New Delhi antara bandar raya yang menggunakan model turnkey dengan konsep pembiayaan pembinaan landasan kereta api yang membuahkan hasil positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 2:25 AM