DALAM tujuh bulan pertama 2017, RM700 juta pembiayaan diluluskan kepada 3,242 PKS.
HM Digital

Kuala Lumpur: Pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan kukuh dengan pengeluaran pinjaman meningkat ketara 13.4 peratus kepada RM160.7 bilion berbanding tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu sebanyak RM141.7 bilion.

Jumlah pinjaman terkumpul bagi PKS meningkat 8.1 peratus kepada RM292 bilion mencakupi 51.5 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul perniagaan akhir Julai lalu.

Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, sebahagian besar pinjaman terkumpul bagi tujuan modal kerja menyumbang 43.9 peratus dan pembelian hartanah 36.2 peratus.

“Bagaimanapun, permohonan dan kelulusan pinjaman merosot 3.5 peratus dan 3.3 peratus kepada masing-masing RM97.5 bilion dan RM34.4 bilion.

“Pembiayaan PKS diperluaskan melalui penyediaan pinjaman alternatif tabung pusingan khas Bank Negara Malaysia (BNM) yang menawarkan pembiayaan pada kos berpatutan,” kata laporan berkenaan.

Sejak tabung itu diperkenalkan sehingga akhir 2017, lebih 75,000 PKS dibantu dengan jumlah pembiayaan diluluskan bernilai RM30.1 bilion dan purata kadar penggunaan 75 peratus.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017, pembiayaan keseluruhan diluluskan RM700 juta untuk 3,242 PKS berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM1.2 bilion dimanfaatkan 3,144 PKS.

Berkuat kuasa 19 Jun lalu, Dana untuk Industri Kecil dan Sederhana 2, Dana Usahawan Baru 2, Dana untuk Makanan, Dana Perusahaan Mikro dan Kemudahan Bantuan Bencana disatukan menjadi Dana Khas BNM untuk PKS bagi memenuhi permintaan pembiayaan golongan berkenaan.

Laporan itu menyebut ciri dana juga ditambah baik bagi membantu PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan dari bank seperti syarikat baru mula dan usahawan yang tiada rekod kukuh atau cagaran.

Akses ditambah dengan membabitkan semua bank berlesen dan institusi kewangan pembangunan ditetapkan. Sementara itu, satu lagi dana khas dipanggil Tabung Projek Usahawan Bumiputera-Islam dilaksanakan melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Pembiayaan kepada perusahaan mikro juga disediakan institusi kewangan mengikut Skim Pembiayaan Mikro.

Pada masa ini, tujuh institusi perbankan dan tiga institusi kewangan pembangunan menyediakan pembiayaan produk kewangan konvensional dan patuh syariah kepada usahawan mikro melalui lebih 2,000 penyedia perkhidmatan.

Jumlah pembiayaan yang diluluskan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini mencatat RM223.5 juta membabitkan 8,984 akaun.

Sejak skim itu diperkenalkan pada 2006 hingga Julai 2017, lebih daripada RM3.6 bilion pembiayaan sudah diluluskan kepada 209,954 akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:40 AM