O’CONNOR di Ibu Pejabat COURTS Malaysia.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Courts Malaysia berhasrat memperkukuhkan operasi perniagaan terasnya dan mempertingkat pengalaman beli-belah dalam kalangan pelanggan setia syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif COURTS Asia Limited, Terry O’Connor berkata, dengan pembabitan dalam pasaran tempatan sejak 30 tahun lalu, pihaknya komited memberi fokus kepada operasi bagi memberikan pelanggan kepuasan di COURTS.

Beliau berkata, segmen IT adalah antara penyumbang kepada jualan daripada unit penyimpanan stok (SKU) seperti telefon pintar dan gajet namun segmen perabot masih kekal teras perniagaan syarikat.

“Dengan pertumbuhan dunia e-dagang masa ini, ia mewujudkan landskap perniagaan yang berbeza berbanding suatu masa dulu dan ia memberi idea kepada kami untuk mewujudkan lebih banyak kedai pop-up. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Malah, landskap baru ini menjadikan COURTS berkembang pesat dengan membentuk aliran pembelian pelanggan di samping aspirasi dalam jangka panjang dalam menawarkan 50,000 SKU dalam platform e-dagang,” katanya di Ibu Pejabat COURTS Malaysia, di sini.

O’Connor berkata, dalam memberikan pengalaman beli-belah terbaik dalam kalangan pelanggan setianya, COURTS mempelbagaikan portfolio perkhidmatan kerana ia faktor utama dalam mengukuhkan jenama itu.

“Kini kita melihat banyak pemain dalam industri yang muncul dan masing-masing dilihat berlumba-lumba menawarkan produk berpatutan.

“Kami berasa inilah masa tepat untuk menambah portfolio servis sedia ada di COURTS.

“Antaranya seperti bagaimana urusan pembelian dikendalikan antara peruncit dan pembeli, produk berasaskan jaminan, pertukaran dan penggantian produk menjadi faktor penting dalam perniagaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan pembukaan cawangan baru pada 2018, beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak merancang membuka cawangan baru sebaliknya menaik taraf gedung sedia ada dengan servis ditingkatkan.

“Kami melihat tiada keperluan membuka cawangan baru kerana ingin memberi tumpuan khusus kepada cawangan sedia ada. Bagaimanapun, untuk pasaran Sabah dan Sarawak masih ada peluang baru untuk diterokai pada masa akan datang.

“Julai lalu, kami membuka dua cawangan baru di Sabah iaitu di Keningau dan Semporna menjadikannya masing-masing sebagai cawangan ketiga dan keempat di negeri itu selepas Inanam dan Karamunsing, manakala tujuh cawangan di Sarawak setakat ini,” katanya.

COURTS Malaysia mempunyai 71 cawangan beroperasi di seluruh negara yang menawarkan 2,000 hingga 3,000 SKU pelbagai segmen secara purata bagi setiap kedai meliputi segmen perabot, IT dan barang elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 8:51 AM