Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur pengedar utama jenama kenderaan mewah Rolls-Royce di negara ini melancarkan model terbaru Phantom dan unit pertama tempahan dijangka tiba pertengahan tahun hadapan.

Pengarah Urusannya Datuk Michael Ong Leng Chun berkata, model ini yang kali pertama diperkenalkan di Asia Pasifik menawarkan rekaan eksklusif seni reka mewah sebagai laras ciptaan jenama Rolls-Royce dalam keaslian yang dibina khas mengikut permintaan pelanggan.

Phantom adalah simbol kejayaan mereka yang berpengaruh di Malaysia dengan rekaan elegan dan kejuruteraan terbaik umpama ruang pameran bergerak yang memaparkan kemewahan, teknologi bertaraf dunia dan kualiti pembuatan terbaik,” katanya pada majlis pelancarannya, di sini, semalam.

Setiap kenderaan ini dipasang secara manual oleh 100 pekerja di Chichester, United Kingdom dengan kapasiti penghasilan 20 unit sehari.

Pada tahun lalu, 4,000 unit terjual di seluruh dunia dan Phantom menyumbang 10 peratus kepada jualan.

Phantom baru ini lebih 220 milimeter (mm) panjang pada kabin belakang yang dikuasakan dengan enjin 6.75 liter V12 turbo berkembar lapan dengan kelajuan yang mampu menjana kuasa 563hp dan daya tork sehingga 900Nm serta mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (Km/j) dalam tempoh 5.4 saat.

Selain berprestasi, ia digabungkan dengan kerangka 5,982 mm panjang dan 2,018 mm lebar hasil daripada Architecture of Luxury untuk ruang dalaman umpama di hotel mewah seperti tempat duduk kulit yang direka khas dan material kayu berkualiti tinggi pada beberapa bahagian.

“Generasi kelapan ini dipadankan dengan sistem suspensi angin untuk keempat-empat roda, sistem kawalan casis termaju serta penebat bunyi 130 kilogram (kg) untuk perjalanan lebih senyap bagi keselesaan sepanjang perjalanan,” tambahnya lagi.

Dua varian ditawarkan iaitu Phantom Standard Wheelbase dan Phantom Extended Wheelbase dijual pada harga bermula RM2.2 juta sehingga RM2.5 juta dengan pilihan 44,000 warna termasuk pakej empat tahun servis dan waranti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 7:04 AM
ONG bersama model Rolls-Royce terbaru Phantom yang dilancarkan.