SYED Faisal (tengah) dan Dr Li (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah pada sidang media DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group di Holiday Inn Glenmarie, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Shah Alam: DRB Hicom Berhad (DRB-Hicom) dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) mengumumkan pelantikan Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) yang baru, berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Pelantikan itu berikutan peletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, Dr Li akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi anak syarikat Proton Holdings Berhad (PHB) membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penjualan dan pemasaran.

“Saya yakin pemilihan Dr Li adalah tepat untuk mengetuai pelan pemulihan Proton dengan kerjasama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Datuk Radzaif Mohammed dan pasukan sedia ada,” katanya pada sidang media bersama DRB-Hicom Berhad dan Zhejiang Geely Holding (Geely), di sini, semalam.

Dr Li memiliki pengalaman 30 tahun dalam industri automotif dan pernah bekerja dengan jenama utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai peringkat pengurusan tertinggi.

Sebelum ini, warganegara China itu adalah Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Honda Engine Co dan beliau baru saja menyertai Geely pada 22 Ogos lalu.

Dalam perkembangan sama, DRB-Hicom dan Geely turut mengumumkan struktur baru Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PHB dan syarikat berkaitan di bawah kumpulan itu.

Syed Faisal berkata, beliau kekal sebagai Pengerusi PHB dan disertai Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas sebagai wakil DRB-Hicom sebagai ALP manakala Daniel Donghui Li dan Feng Qing Feng untuk Geely.

Menurutnya, ALP bagi PONSB terdiri daripada barisan sama dengan Syed Faisal sebagai Pengerusi dan turut disertai Dr Nathan Yu Ning dan Winfried Vahland dari Geely manakala Syed Faisal, Shaharul Farez, Amalanathan, Daniel Donghui Li dan Nathan Yu Ning sebagai ALP sayap pengedaran Proton, Proton Edar Sdn Bhd.

Pada Mei lalu, Geely, pemilik Kumpulan Kereta Volvo Sweden memuktamadkan pegangan sebanyak 49.9 peratus dalam Proton daripada DRB-Hicom manakala DRB Hicom memiliki 50.1 peratus pegangan, sekali gus memegang 100 peratus pegangan dalam PONSB yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran utama, operasi, pembuatan dan pemasaran kumpulan automotif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 3:28 AM