Norita (tengah) bersama Pengurus Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara, Azilah Arshad (kanan) dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Utara, Mohd Muhidin Faharuddin pada sidang media di Shah Alam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal melancarkan projek pembangunan premium terbarunya di Seksyen 17 dikenali Residensi 10 pada 7 dan 8 Oktober ini.

Projek 10 Residensi yang mempunyai 10 unit kediaman eksklusif itu dijual pada harga bermula RM1.2 juta. Kediaman dalam projek berkenaan berkeluasan sekitar 0.5 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM11.6 juta.

Ketika ini, projek itu sudah 60 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2018.

Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek berkata, pihaknya yakin semua 10 unit kediaman itu dapat dijual dalam tempoh sehari kerana harga ditawarkan begitu berpatutan dengan kualiti kediaman dan ditawarkan kepada pembeli eksekutif.

Beliau berkata, pelancaran 10 Residensi itu bertujuan memberi peluang kepada pembeli untuk menaik taraf kediaman mereka kepada segmen kediaman premium dengan harga berpatutan.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, pihaknya tidak terkesan dengan penguncupan industri pasaran hartanah tempatan apabila masih mencatatkan pertumbuhan jualan yang baik antara 10 hingga 15 peratus setahun.

Malah, katanya, PKNS pada tahun ini terus meningkatkan jumlah pelancaran projek kediamannya kepada 12 berbanding hanya 10 projek pada tahun sebelumnya.

“Pada tahun lalu, nilai jualan dicatatkan sebanyak RM318 juta dengan peratus pertumbuhan jualan yang sama iaitu antara 10 hingga 15 peratus dicatatkan dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata, secara purata, setiap tahun, PKNS melancarkan hanya 15 peratus daripada keseluruhan projek bagi segmen premium dengan harga kediaman dari RM500,000 ke atas manakala selebihnya dalam kategori kediaman mampu milik.

Menurutnya, meskipun pasaran hartanah tempatan agak lembap hingga turut memberi kesan kepada penjualan rumah mampu milik, namun rumah mampu milik yang dibangunkan PKNS terjual 100 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 3:18 AM