Fitri (empat dari kiri) bersama Zainal (tiga dari kiri) selepas melancarkan Hab Digital Oracle.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Oracle Corp Malaysia Sdn Bhd (Oracle), menyasarkan untuk menarik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berskala sederhana hingga besar untuk menggunakan penyelesaian teknologi awan.

Pengarah Urusannya Fitri Abdullah berkata, menerusi pelancaran Hab Digital syarikat itu, satu pasukan baru akan memberi tumpuan kepada usaha membantu melancarkan peralihan syarikat bersaiz sederhana kepada teknologi berkenaan.

“Ini akan turut membantu PKS memanfaatkan penyelesaian awan Oracle Cloud bagi meningkatkan aspek operasi, inovasi serta mewujudkan satu platform bagi pertumbuhan.

“PKS Malaysia juga dapat menjadi lebih kompetitif sejajar usaha memperkukuhkan lagi kehadiran mereka dalam ekonomi digital dengan menggunakan teknologi awan dan digital berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama melancarkan Hab Digital Oracle dengan Naib Presiden Kanan Oracle bagi kawasan Jepun dan Asia Pasifik Francois Lancon serta Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Zainal Amanshah.

Hab Digital itu melengkapi fungsi sokongan dan jualan digital Oracle wilayah Asia-Pasifik yang berpejabat dan menyediakan khidmat kepada pasaran tempatan dan 21 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Lancon berkata, kumpulan itu secara kolektifnya mencatat pertumbuhan sebanyak 51 peratus bagi segmen perniagaan awan untuk tahun kewangan berakhir pada Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 2:39 AM