NAJIB berucap pada sesi Jom Bersama Perdana Menteri dengan TM, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) komited untuk menyediakan akses jalur lebar lebih pantas kepada 2.36 juta pelanggan jalur lebarnya menerusi pengenalan pakej unifi baru, Unifi ebiz dan Unifi edu bagi e-usahawan dan golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, TM mempunyai tanggungjawab besar bukan saja sebagai Peneraju Konvergens Negara tetapi juga sebagai rakan usaha sama dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, TM sudah mencatatkan lebih satu juta pelanggan bagi perkhidmatan Unifi, justeru, merekodkan pencapaian penting negara dan menjadikannya antara pelaksanaan terpantas dan berjaya di dunia.

“Saya teruja untuk menyaksikan perkhidmatan ini diperluaskan lagi dan dua pakej terbaru akan dilancarkan untuk memenuhi keperluan lebih banyak segmen dalam komuniti kita iaitu e-usahawan dan golongan belia khususnya pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya harap pengenalan pakej baru oleh TM ini akan membuka lebih banyak potensi tanpa sempadan untuk segmen ini terus berkembang,” katanya pada sesi Jom Bersama Perdana Menteri dengan TM, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau disambut lebih 3,000 anggota TM dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Dr Halim Shafie dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Tan Sri Azman Mokhtar.

Hadir sama Pengerusi TM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TM ,Datuk Bazlan Osman.

Bagi Unifi ebiz, ia membabitkan pelan Biz Lite, Biz Advance atau Biz Pro manakala pakej Unifi edu pula membabitkan pelan Lite, Advance atau Pro dengan kelajuan jalur lebar sehingga 100Mbps.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melancarkan aplikasi i-foundit! Unifi yang membolehkan semua rakyat Malaysia mengakses Internet melalui wifi@unifi yang sebelum ini dikenali sebagai TM WiFi.

Aplikasi itu mengesan lokasi hotspot WiFi dan menyambungkan pengguna kepada lebih 5,800 hotspot di seluruh negara dengan kadar hanya 10 sen sejam.

Perdana Menteri turut mengumumkan caj wifi@unifi dikecualikan sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:11 AM