Projek pembangunan Sri Saujana yang dimajukan di Kulai.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menerusi anak syarikatnya, Aksi Selasih Sdn Bhd (Aksi Selasih) dan Glomac Berhad (Glomac) melalui anak syarikatnya, Precious Quest Sdn Bhd (Precious Quest) melancarkan projek usahasama pembangunan bercampur di tanah milik KPRJ di Kulai, Johor.

Cadangan projek usahasama pembangunan bercampur antara KPRJ dan Glomac itu membabitkan keseluruhan kawasan seluas 70.51 hektar di Mukim Bukit Batu, Kulai.

Glomac dalam satu kenyataan berkata, cadangan projek pembangunan bercampur itu terdiri daripada 1,705 unit rumah kediaman pelbagai kategori seperti rumah teres dua tingkat, Rumah Mampu Milik Johor dan Perumahan Komuniti Johor serta 173 unit perdagangan yang dibahagi dalam beberapa fasa dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM710 juta.

Menurutnya, bagi cadangan fasa satu projek pembangunan berkenaan, majlis perasmian dan pecah tanah baru-baru ini adalah bagi pembangunan fasa lima membabitkan 191 unit rumah teres dua tingkat dikenali Perumahan Komuniti Johor dan fasa satu membabitkan 179 unit rumah teres dua tingkat.

“Pembangunan bercampur bersepadu itu akan memberi keselesaan kepada bakal pembeli berdasarkan kekuatan kewangan, pengalaman serta kepakaran Glomac lebih 26 tahun sebagai syarikat hartanah milik majoriti Bumiputera yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia sejak tahun 2000.

“Glomac sebelum ini berjaya membina, membangun dan memajukan projek perbandaran bersepadu yang moden di lokasi strategik di sekitar Lembah Klang seperti Bandar Saujana Utama di Sungai Buloh, Saujana Rawang, Saujana KLIA di Sepang serta Sri Saujana yang terletak antara Ulu Tiram dan Kota Tinggi, Johor seluas 182 hektar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:11 AM