LIEW (tengah) menunjukkan model telefon pintar Samsung Galaxy Note8 di Kuala Lumpur, semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (SME) kini menampilkan model terbaru peranti pintar mereka dengan ciri lebih inovatif dan canggih iaitu Samsung Galaxy Note8.

Ketua Perniagaan IM SME Liew Kian Meng berkata, Galaxy Note8 mengetengahkan reka bentuk diperkemaskan, ciri S Pen dipertingkat, dwikamera terbaik dalam kelasnya, hiburan inovatif dan keupayaan produktiviti bagi membantu pengguna melakukan lebih banyak perkara dengan hanya menggunakan peranti pintar.

“Ciri S Pen yang dipertingkat ini berupaya memberikan pengalaman menulis, melukis dan berinteraksi yang baru kepada pengguna kerana ia memiliki mata pen yang lebih halus serta sensitiviti tekanan lebih baik.

“Ia bukan sekadar telefon pintar, Galaxy Note8 berfungsi mengikut kehendak gaya kehidupan masa kini bagi memperkasa kerja harian pengguna,” katanya pada majlis pelancaran Galaxy Note8, di sini, semalam.

Sempena pelancaran itu, Samsung turut menampilkan bintang popular daripada program Running Man, Song Ji-Hyo sebagai penampilan istimewa.

Peranti terbaru Samsung dengan saiz berukuran 6.3 inci itu turut hadir bersama paparan berdefinisi tinggi (HD) Infinity Super AMOLED bagi memberikan kepuasan menonton, membaca serta melukis kepada penggunanya.

Menariknya, Galaxy Note8 direka dengan dwikamera pada standard tersendiri bagi memberikan kualiti kamera kelas terbaik. Ia juga peranti pintar pertama dengan kamera belakang 12MP bersama Penstabilan Imej Dwi-Optik.

Bagi merakam gambar dengan hasil lebih mengujakan, ciri Live Focus Galaxy Note8 membolehkan pengguna mengubah kadar Depth of Field dan menyusun kesan ‘bokeh’ secara manual pada mod pratonton atau selepas merakam foto.

Galaxy Note8 yang dikuasakan oleh pemprosesan Octa core, 6GB ROM dan 64GB storan itu boleh didapatkan dalam tiga warna pilihan iaitu Midnight Black, Orchid Gray dan Maple Gold pada harga RM3,999 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 2:42 AM