MOHAMAD Nasir Ab Latif
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bersedia meningkatkan pelaburannya dalam dana ekuiti swasta (PE) yang mematuhi syariah biarpun dana berkenaan terhad.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburannya Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, dana pencen terbesar itu masih tidak memenuhi sasaran peruntukan aset sepenuhnya untuk segmen PE-nya.

“Kami memperuntukkan 10 peratus daripada pelaburan kami dalam ruang alternatif yang terdiri daripada infrastruktur dan hartanah.

“Pelaburan PE kami kini berada pada empat peratus dan hanya separuh daripadanya dalam dana patuh syariah,” katanya sambil menambah terdapat kekurangan dana sedemikian di pasaran domestik dan antarabangsa meskipun peningkatan permintaan dari negara-negara Islam.

Beliau berkata, KWSP akan terus melabur dalam dana patuh syariah dan konvensional secara serentak.

“Cabaran utama adalah mencari dana PE patuh syariah.

“Kami akan terus meningkatkan pelaburan dalam dana konvensional dan ingin menggalakkan lebih banyak dana patuh syariah untuk tersedia di pasaran,” katanya ketika ditemui di luar acara Forum AVCJ Private Equity Venture – Malaysia, semalam.

Bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2017, simpanan patuh syariah KWSP berjumlah RM820.71 juta daripada RM11.51 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburannya, manakala RM10.69 bilion dijana daripada simpanan konvensional.

Simpanan syariah memperoleh pendapatannya semata-mata daripada bahagian aset patuh syariah, manakala pendapatan daripada simpanan konvensional dijana oleh aset patuh syariah dan bukan patuh syariah.

Sehingga 31 Disember 2016, nilai aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak 3.92 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM759.78 bilion daripada RM731.11 bilion.

Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak 47.71 peratus adalah pelaburan patuh syariah, manakala baki dilaburkan dalam aset tidak patuh syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:19 AM