MOHD Farid Shah menerima anugerah dimenangi Bank Rakyat.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bank Rakyat meraih Anugerah Kepemimpinan Pasaran GIFA (Perkhidmatan Pajak Gadai) 2017 di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) ke-7 iaitu pengiktirafan atas usaha berterusan, komitmen dan dedikasi institusi perbankan itu dalam menetapkan standard industri yang menawarkan perkhidmatan pajak gadai Islam.

Majlis berlangsung di Hotel Hilton, Astana, Kazakhstan Rabu lalu turut menyaksikan Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat Mohd Farid Shah Mohd Basir dianugerahkan sebagai Personaliti Akan Datang dalam Kewangan Islam Global (Sumber Manusia dan Pembangunan Bakat) 2017 atas usahanya membina Amalan Terbaik Sumber Manusia dan Pembangunan Bakat dalam sektor kewangan Islam.

GIFA 2017 yang dihoskan Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC) itu turut dihadiri Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, bank Islam dan pihak berkepentingan lain daripada industri perkhidmatan kewangan Islam global yang berkumpul di Astana serta mengambil bahagian bagi meraikan kejayaan berprestij dalam perbankan dan kewangan Islam.

Sementara itu, Anugerah GIFA dianjurkan Edbiz Consulting, syarikat perundingan kewangan Islam berpangkalan di London sejak 2011 adalah penghargaan paling berprestij dalam industri yang mengiktiraf individu dan organisasi untuk kejayaan dan amalan terbaiknya dalam sektor kewangan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 3:12 AM