PROJEK PPA1M yang siap dibina di Bedong, Kedah.
Omar Osman
bisnes@hmetro.com.my

Sungai Petani: Pesara kerajaan dan kakitangan badan berkanun kini layak membeli rumah melalui program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sebelum ini hanya dikhususkan kepada penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan saja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, sehingga kini ada 8,000 unit rumah PPA1M yang siap dan dibina di Kedah seperti di Sungai Petani, Kulim, Changlun, Pendang, Jitra, Padang Terap dan Alor Setar.

Beliau berkata, menerusi program PPA1M, ia memberi peluang kepada pesara dan kakitangan badan berkanun Persekutuan dan negeri memiliki rumah sendiri yang mana keisitimewaan ini hanya diberi kepada penjawat awam saja sebelum ini.

“Dengan harga rumah ditawarkan 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, pesara dan kakitangan berkanun wajar mengambil peluang ini.

“Kerajaan negeri berharap memperluaskan program PPA1M ini ke daerah lain di negeri ini bagi memberi peluang kepada penjawat awam, pesara serta kakitangan badan berkanun dikawasan terbabit memiliki rumah,” katanya selepas merasmikan projek PPA1M di Permaipura, Bedong, di sini, baru-baru ini.

Projek PPA1M Taman Permaipura dimajukan syarikat perumahan Oriental Interest Berhad (OIB) membabitkan pembinaan 600 unit rumah teres setingkat dan teres dua tingkat. Sebagai permulaan, 200 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat akan dibina.

Badrul berkata, dengan wujudnya program PPA1M, kerajaan negeri mencapai sasaran membina 40,000 rumah iaitu 8,000 unit rumah PPA1M, rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) (25,000 unit), lebih 6,000 unit Program Perumahan rakyat (PPR) serta rumah dibina Syarikat Perumahan Negara (SPNB).

Ketua Pegawai Operasi Dan Pemasaran OIB Beh Suan Sim berkata, projek PPA1M Taman Permaipura itu adalah yang kedua di Kuala Muda selepas Taman Sinar Intan 3 dibina OIB, selain pihaknya juga turut memajukan projek PPA1M Taman Serai Wangi di Padang Serai, Kulim.

“Bagi Taman Permaipura, 600 unit rumah dibina iaitu 201 unit teres setingkat dan 399 unit teres dua tingkat meliputi 200 unit dibina di Fasa 1 yang dijangka siap Disember 2018.

“Rumah teres setingkat dijual pada harga RM184,790 dan teres dua tingkat RM274,92, harga terbabit lebih murah berbanding dijual di pasaran,” katanya.

Mereka yang berminat membeli rumah PPA1M boleh berkunjung ke Galeri OIB di Sungai Petani atau melayari laman web www.oibgroup.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 2:21 AM