Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyediakan platform kepada orang ramai yang mencari pekerjaan di Hari Terbuka MIDA dengan lebih 7,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Acara itu diadakan sempena ulang tahun ke-50 MIDA dan bakal dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Antara syarikat terkemuka yang mengambil bahagian termasuk NADI Malaysia, Petronas Chemical, CTRM, ViTrox, Infineon Technologies, Hoyati Electronics, Coca-Cola, Nestle, Yakult, QSR Brands, GDex, Nationwide Express dan Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, Hari Terbuka itu diadakan pada 18 September ini yang akan disertai 50 syarikat asing dan tempatan.

Katanya, syarikat yang terbabit menawarkan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang antaranya, sektor aeroangkasa, bahan kimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, pengangkutan, makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik dan e-dagang.

“Segmen pameran kerjaya adalah platform berharga bagi mereka yang mencari kerja dan 7,000 jawatan kosong termasuk dalam peringkat eksekutif dan ke atas ditawarkan.

“Hari Terbuka MIDA berfungsi mewujudkan lebih banyak kesedaran kepada orang ramai bahawa kemudahan dan perkhidmatan kami bukan hanya untuk syarikat besar asing, tetapi kepada semua syarikat tempatan,” katanya di taklimat media, di sini, semalam.

Menurutnya, MIDA menjangkakan menarik lebih 5,000 pengunjung termasuk graduan dan pelajar dari institusi pengajian tinggi.

Antara aktiviti lain diadakan pada hari terbabit termasuk taklimat industri dan perniagaan, pameran industri, klinik perniagaan dan pelbagai lagi di Ibu Pejabat MIDA KL Sentral.

Sementara itu, setakat 31 Disember 2016, MIDA meluluskan 28,907 projek pembuatan dengan nilai pelaburan RM1.07 trilion yang mana pelaburan asing berjumlah RM575.9 bilion.

Daripada jumlah itu, 46 peratus adalah pelaburan domestik bernilai RM490.6 bilion dan mewujudkan lebih tiga juta peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:52 AM