HM Digital

Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan pembayaran bil, JomPAY yakin berada di landasan tepat untuk mencapai jumlah 2,000 penyedia perkhidmatan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear), Peter Schiesser berkata, pihaknya positif untuk mencapai jumlah ditetapkan memandangkan lebih banyak penyedia perkhidmatan menyertai senarai di bawah kod pengebil JomPAY.

“Setakat ini, 1,759 kod pengebil berada dalam senarai JomPAY dan jumlahnya terus meningkat. Malah, JomPAY kini muncul sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran bil terbesar di Malaysia,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen Be A-Class Ahead: JomPAY and Win di sini, semalam.

Pada April lalu, MyClear melancarkan kempen berkenaan dengan kerjasama bank di Malaysia yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM1 juta termasuk dua kereta Mercedes-Benz A200 AMG Line sebagai hadiah utama selain rebat tunai bulanan dan mingguan.

Bagi edisi ini, pemenang yang diumumkan adalah Zaini Ismail yang membuat transaksi JomPAY untuk membayar bil elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:45 AM
PETER menyerahkan replika kunci Mercedes -Benz A200 AMG kepada Zaini.