DARI kiri Norita, Ellisya, Izham dan Hairuddin pada majlis menandatangani usaha sama antara aL-ikhsaN dan PFAM di cawangan terbaru aL-ikhsaN di pusat beli-belah Melawati.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Al-Ikhsan Sports (aL-ikhsaN), penjual barang sukan ternama di Malaysia, kini bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebagai usaha meningkatkan saham pasaran aL-ikhsaN bagi segmen bola sepak.

Pengurus Kanan Pemasarannya, Ellisya Abdullah berkata, pada tahun ini, aL-ikhsaN memasuki tahun ke-26 sejak penubuhannya sebagai syarikat yang menambat hati penggemar sukan di Malaysia kerana ada pelbagai variasi barangan sukan yang berkualiti tinggi.

“Jadi, kami berusaha meningkatkan penguasaan saham pasaran bagi segmen bola sepak sekali gus mengangkat jenama ini ke peringkat lebih tinggi, terutama dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia.

“Ini juga antara inisiatif kami memperluas pasaran kami ke serata negara dan mungkin juga ke pasaran antarabangsa pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Majlis menandatangani kerjasama itu diadakan di cawangan terbaru aL-ikhsaN di pusat beli-belah Melawati yang dirasmikan Timbalan Pengurus Besar Proses Perniagaan Norita Md Noor, Presiden PFAM Hairuddin Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Hairuddin berkata, kerjasama antara dua pertubuhan itu untuk menunjukkan sokongan terhadap pemain bola sepak Malaysia serta industri sukan tanah air.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada aL-ikhsaN kerana memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang terkemuka.

“Kami berharap untuk bersama-sama syarikat dalam merealisasikan impian dan harapan kami buat pasukan bola sepak Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 2:40 AM