CHANG (dua dari kanan) pada upacara penyempurnaan menara Eco Sky.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) yakin projek Eco Sky iaitu pembangunan komersial bersepadu pertamanya di Lembah Klang akan habis terjual dalam tempoh terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chang Khim Wah berkata, projek itu dilancarkan EcoWorld pada Disember 2013 dan kadar pembelian ketika ini berjumlah 85 peratus dengan 20 peratus kawasan tanah Eco Sky diperuntukkan bagi kawasan hijau.

“Projek Eco Sky ini sudah hampir sempurna apabila menara kediaman pertama iaitu Menara Aurora dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Menara Aurora setinggi 39 tingkat adalah menara kediaman pertama yang mencapai paras puncak dan dengan siapnya ketiga-tiga menara Eco Sky kelak, kami yakin ia akan terjual sepenuhnya,” katanya pada sidang media di upacara penyempurnaan menara Eco Sky, di sini.

Menurutnya, lebih kurang 15 peratus unit yang berstatus Bumiputera masih belum terjual dan pihaknya akan terus menjalankan promosi kerana yakin lokasi yang strategik, reka bentuk dan kemudahan lengkap ditawarkan di Eco Sky bakal menarik minat pembeli.

Chang berkata, bagi menara kedua Eco Sky iaitu Basalta dan menara ketiga, Clarita yang dilancarkan pada Ogos 2014, dijangka siap sepenuhnya pada April 2018.

Eco Sky, pembangunan pegangan bebas seluas 3.88 hektar yang terdiri daripada tiga menara kediaman, 144 lot runcit dan pejabat, serta pod komersial yang memiliki nilai pembangunan kasar RM974 juta.

Ketika ini, EcoWorld memiliki 3,258.8 hektar simpanan tanah dengan nilai pembangunan kasar RM87.5 bilion.

Sementara itu, Chang berkata, pihaknya menyasarkan jualan RM4 bilion bagi 2017 dan optimis untuk mencapai jumlah itu terutama menerusi tiga projek pembangunan barunya.

“Tiga projek itu ialah pembangunan Eco Forest kumpulan di Semenyih, Eco Business Park 5 di Ijok, kedua-duanya di Selangor dan Eco Horizon di Pulau Pinang iaitu antara pembangunan perbandaran yang dijadualkan dilancarkan tidak lama lagi dan dijangka memberi sumbangan kepada jualan syarikat.

“Setakat Julai 2017, jualan adalah berjumlah RM1.7 bilion, bagaimanapun, kami yakin dapat mencecah sasaran RM4 bilion dengan tiga kawasan tadahan berbeza, dengan tiga jenis jualan berbeza pada harga khusus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 6:39 AM