Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Agenda pemerkasaan Bumiputera dijangka terus menjadi antara fokus utama dalam pembentangan Bajet 2018 pada Oktober depan selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan golongan terbabit dalam sektor keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh berkata, usaha itu dilihat bakal diteruskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sesi perbentangan bajet akan datang memandangkan pelbagai mesyuarat bersama Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) giat dijalankan.

Beliau berkata, sejak pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) pada 19 April lalu, setiap bulan Perdana Menteri akan turun padang dan berjumpa dengan MEB selain mempengerusikan mesyuarat yang diadakan.

“Dalam setiap mesyuarat bersama MEB, banyak perkara semasa berkaitan Bumiputera dibincangkan, malah perkara baru yang boleh membantu memperkukuh golongan ini turut diberi perhatian penuh.

“Buat masa ini, kerajaan sentiasa prihatin dengan usaha pemerkasaan Bumiputera di mana terdapat 27 perkara utama yang dilaksanakan termasuklah program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) yang mempunyai kira-kira 9,000 peserta sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Inisiatif BETR 1.0 yang dilaksanakan sejak enam tahun lalu berjaya melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing serta berpeluang menembusi pasaran antarabangsa.

Kejayaan program pemerkasaan Bumiputera itu terbukti apabila setakat Mac 2017, RM108 bilion dijana melalui semua inisiatif dijalankan disumbangkan dari peluang perniagaan, pendanaan, pembangunan modal insan, pelaburan swasta dan penghasilan nilai perniagaan.

Husni berkata, setakat ini, MEB bekerjasama dengan pelbagai pihak terbabit seperti agensi kerajaan, pihak swasta dan sebagainya serta melaksanakan 130 perjanjian berkaitan pemerkasaan ini.

“Pendekatan drastik terhadap pembangunan Bumiputera membuktikan kerajaan prihatin membantu mempertingkat kesejahteraan rakyat dengan lebih berkesan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:05 AM