KAKITANGAN Worldwide menunjukkan buku The Invisible 6 Million Tonnes Air Hitam Sanitary Landfills Park.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Puchong: Worldwide Holdings Bhd (Worldwide Holdings) menandatangani perjanjian dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan pasca penutupan bagi tiga tapak pelupusan sanitari di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, perjanjian itu bukti keupayaan dan pengalaman syarikat dalam pengurusan sisa terutama tapak pelupusan sanitari berikutan kejayaan penutupan dan pemulihan tapak pelupusan sanitari Air Hitam.

“Pembabitan dan kejayaan kami dalam pengurusan sisa selama 20 tahun adalah hasil bakat muda yang mengamalkan teknologi melalui kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa dan pengalaman dalaman syarikat,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi saksi upacara menandatangani perjanjian terbabit.

Beliau berkata, syarikat mengendalikan aktiviti penyelenggaraan dan pascapenutupan dua tapak pelupusan sanitari di Air Hitam, Puchong dan Kubang Badak, Kuala Selangor serta tempat pembuangan sampah di Sungai Kembong, Hulu Langat bernilai RM1.5 juta setahun.

“Perjanjian ini membolehkan kami mengukuhkan matlamat meluaskan perniagaan pengurusan sisa kami di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam adalah tapak kejuruteraan moden pertama di negara ini yang mengendalikan lebih enam juta sisa pepejal sebelum ditutup Disember 2006.

Selepas ditutup, Worlwide Holdings mengambil inisiatif menjadikan tapak pelupusan sanitari itu kepada taman rekreasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 8:41 AM