HIROYUKI (depan, dua dari kiri), Ahmad Izham (depan, tengah) dan Pengarah Filem dan pelakon, Low Ngai Yuen (depan, dua dari kanan) bersama pemenang HACTION!
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60, Panasonic Malaysia bekerjasama dengan HATCH, saluran YouTube yang dikendalikan Studio8 Media Prima untuk menganjurkan peraduan filem pendek HACTION! Shot on Lumix GH5 (HACTION!).

Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Hiroyuki Muto berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menghasilkan kamera digital yang inovatif ke arah menawarkan budaya fotografi yang baru dalam era serba digital ini.

“Perkongsian kami dengan Media Prima Berhad (Media Prima) dilihat sebagai platform terbaik untuk bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 dengan membantu karyawan filem dan pembuat kandungan mempersembahkan kandungan asli Malaysia yang bermutu menggunakan LUMIX GH5.

“Ini adalah landasan terbaik untuk melatih pembuat filem tempatan dalam menghasilkan cerita yang menarik secara visual dan pada masa yang sama mempamerkan keupayaan LUMIX GH5,” katanya pada majlis pengumuman pemenang filem pendek HACTION! Shot on Lumix GH5, di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi perkongsian terbabit, Panasonic berupaya menarik minat lebih ramai pengguna generasi milenial, selain yakin dapat mengukuhkan kehadiran jenama dalam segmen kamera tanpa cermin lensa tunggal digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Datuk Ahmad Izham Omar yang juga salah seorang juri tayangan HACTION! berkata, kandungan kreatif sentiasa menjadi komponen utama dalam membina perkaitan jenama dalam kalangan penonton termasuklah generasi masa kini.

“Masih terdapat banyak cerita menarik yang boleh disampaikan dalam pertandingan ini menggunakan pengalaman sebuah negara yang merdeka sejak enam dekad yang lalu serta kepelbagaian budaya yang ada dalam kalangan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:05 AM