NIZAM (kiri) bersama Naib Presiden Ar-Rahnu Bisnes Bank Rakyat, Dr Mokhrazinim Mokhtar (tengah) dan Pengurus Ar-Rahnu Bisnes Bank Rakyat, Mohamad Azwani Asa'd di sidang media. FOTO Salhani Ibrahim
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


BANK Rakyat memperkenalkan Kempen Emas 1 Kilo bagi menghargai pelanggan Ar-Rahnunya.

Kempen yang berkonsepkan Gadai dan Menang itu diadakan bagi membolehkan masyarakat lebih mengenali dan memahami produk Ar-Rahnu Bank Rakyat.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, menerusi kempen ini, 100 pemenang bertuah akan dipilih secara bulanan.

Manakala pemenang hadiah utama bakal memenangi satu kilogram jongkong emas yang akan diumumkan selepas kempen berakhir, katanya.

"Kami mahu masyarakat memahami bahawa mereka boleh menggunakan emas sebagai aset untuk dilaburkan bagi meningkatkan taraf ekonomi individu serta menjana ekonomi negara.

"Ar-Rahnu juga menjadi satu alternatif pembiayaan yang mudah untuk diproses terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Nizam berkata, pihaknya juga berharap lebih ramai kaum lain turut serta dalam kempen ini yang mana setakat ini majoriti pelanggan Ar-Rahnu Bank Rakyat terdiri dari kaum Melayu dan India.

Kempen Emas 1 Kilo ini akan berlangsung dari 1 Ogos 2017 sehingga 31 Julai 2018 dan menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 7:07 PM