JAMIL (tiga dari kiri) dan Chef Wan (tiga dari kanan) bersama penaja Halfest ASEAN 2017, semalam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kemampuan Bumiputera menyertai sektor halal negara yang masih kecil pembabitannya dalam eksport industri berkenaan.

Tahun lalu, jumlah keseluruhan eksport halal negara mencecah RM42.18 bilion dan hanya 15 peratus disumbangkan pemain industri halal Bumiputera, selebihnya disumbangkan secara dominan syarikat berstatus multinasional dan bukan Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, festival halal 2017 untuk syarikat halal mengeksport Halfest Asean 2017 menjadi platform terbaik kepada usahawan Bumiputera yang bersedia ke arah eksport dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pula dikhaskan kepada usahawan eksport.

Beliau berkata, memandangkan acara itu dikhaskan kepada pemain Industri kecil dan sederhana serta mikro halal, pihaknya bekerjasama dengan beberapa entiti bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka iaitu Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), syarikat tempatan yang berjaya dan cef selebriti antarabangsa, Datuk Cef Wan.

“Halfest Asean 2017 membolehkan syarikat Bumiputera menyertai pertandingan Superb Halal Chefpreneur Challenge 2017 yang dianjurkan Teraju bagi mencari usahawan cef yang mampu menghasilkan produk inovasi dan menerbitkan harta intelek (IP) untuk produk mereka sebelum dikomersialkan kepada syarikat yang berminat.

“Penjurian Superb Halal Chefpreneur Challenge 2017 dilaksanakan Cef Wan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang keusahawanan makanan di seluruh dunia,” katanya pada taklimat media Halfest Asean 2017, di sini, semalam.

Ekspo halal terbesar negara itu diadakan di Pusat Pameran Mines, Kuala Lumpur dari 23 hingga 27 Ogos ini membabitkan lebih 550 ruang pameran dan 60 peratusnya adalah peserta Bumiputera.

Cef Wan berkata, golongan Bumiputera mempunyai keupayaan meneroka pasaran halal di luar negara sekiranya mereka peka dengan permintaan dan bijak menyusun strategi perniagaan.

“Menerusi pengalaman saya, orang asing gemar dengan makanan kita dan makanan Malaysia berpotensi untuk dieksport ke negara asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 10:00 AM