KHO di cawangan Duck, Pavillion Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: 30 Maple Sdn Bhd, syarikat yang memasarkan produk di bawah jenama Duck bakal memperkenalkan pelbagai segmen, selain hanya memfokus kepada jualan tudung.

Pengurus Besarnya Kho Min-Jee berkata, berikutan jenama Duck semakin mendapat permintaan, pihaknya kini mengambil inisiatif mengeluarkan produk daripada segmen berlainan.

Katanya, Duck berusaha melengkapkan barisan produknya bagi segmen kediaman dan terbaru syarikat itu mengeluarkan diari, tuala dan beg tangan di bawah jenama Duck.

“Selain membangunkan produk, kami juga merancang memperluaskan rangkaian Duck di seluruh negara, namun buat masa ini syarikat menumpukan cawangan Duck di Pavilion dan pada Ogos 2017, kami akan membuka cawangan kedua Duck di lokasi yang sama iaitu Pavilion.

“Kami mengutamakan kualiti dan menjual produk premium, disebabkan itu fokus kami tidak pada membuka banyak cawangan tetapi lebih kepada penghasilan barangan yang memberi kepuasan kepada pelanggan kami,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi perancangan masa hadapan, pihaknya akan membuka cawangan Duck di pusat beli-belah ternama di setiap negeri dan modal yang dianggarkan untuk satu cawangan adalah RM600,000.

Selain itu, beliau berkata, sejak tudung Duck berada di pasaran pada 2014 sehingga kini, syarikat berjaya menjual 500,000 tudung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 8:45 AM