DARI kiri, Ng, Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Datuk Ho Hon Sang pada sidang media di Invest Malaysia 2017.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mah Sing Group (Mah Sing) merancang untuk menambah bank tanahnya di lokasi utama sekitar Lembah Klang dengan memperuntukkan 10 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) bagi setiap projek.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya komited membeli tanah yang berpotensi dan menjadikan jumlah keseluruhan bank tanah di Lembah Klang sebanyak 75 peratus berbanding 67 peratus sekarang dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Katanya, dalam tempoh dua bulan Mah Sing sudah membeli empat tanah yang mana tiga di Lembah Klang dan satu di Pulau Pinang dengan nilai RM4.3 bilion.

“Sekiranya pengambilan tanah adalah 10 peratus daripada GDV, maka kami boleh mempunyai projek dengan potensi GDV sehingga RM10 bilion.

“Setakat ini, Mah Sing mempunyai 883.43 hektar di lokasi perdana dengan jumlah GDV RM30 bilion yang boleh menyokong pendapatan dan perolehan kumpulan bagi lapan tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Invest Malaysia 2017 di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Steven Ng berkata, dengan pengambilalihan tanah baru-baru ini, melengkapkan lagi bank tanah sedia ada dan kumpulan berada di landasan tepat untuk menawarkan lebih banyak rumah mampu milik di pasaran.

Ng berkata, pengambilan tanah baru perlu memenuhi kriteria tertentu seperti lokasi strategik, harga berpatutan dan cara pembayaran kerana syarikat terus mematuhi dasar kewangan yang berhemat.

Mengenai cadangan kerajaan untuk menubuhkan badan kawal selia bagi menguruskan industri perumahan terutama bagi segmen rumah mampu milik, beliau berkata, badan selia itu akan membolehkan penyelarasan bagi garis panduan rumah mampu milik kerana masih terdapat tafsiran berbeza mengenai harga rumah mampu milik.

“Malah, badan kawal selia yang akan ditubuhkan itu juga dapat memudahkan institusi kewangan memberi pinjaman kepada mereka yang lebih layak terutama bagi pembeli rumah pertama,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, badan kawal selia perlu tubuhkan kerana ia penting bagi menyelesaikan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah mampu milik di negara ini.

Menurutnya, definisi harga rumah mampu milik berbeza antara pemaju hartanah dengan pemaju yang lain dan ini adalah suatu yang kerajaan kaji dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, sesetengah rumah yang dibina tidak berada di lokasi sesuai dengan orang yang benar-benar memerlukannya dan masalah tidak sepadan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 2:33 AM