LEE (dua dari kiri) pada majlis pelancaran televisyen UHD The Frame, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (SME) memperkenalkan rangkaian televisyen pintar ultra berdefinisi tinggi (UHD) dikenali sebagai The Frame yang memfokuskan kepada elemen seni dan kelihatan seperti bingkai gambar di dinding.

Ketua Segmen Pengguna Elektroniknya Jimmy Tan berkata, televisyen baru itu direka untuk melengkapkan gaya hidup baru pemilik rumah yang ingin meningkatkan dekorasi dalaman kediaman mereka yang lebih elegan dan berseni.

Beliau berkata, pihaknya yakin The Frame mendapat perhatian pelanggan yang mencari televisyen bukan saja untuk menonton program kesukaan, tetapi memanfaatkannya untuk memaparkan kepingan atau gambar seni sebagai hiasan.

“Televisyen ini didatangkan dalam saiz 55 dan 65 inci yang berupaya memaparkan 100 karya seni apabila dimatikan dan boleh dikawal dengan mudah melalui aplikasi telefon pintar.

“Ia turut dilengkapi sensor kecerahan yang membolehkan kandungan dimasukkan mengikut kesesuaian berdasarkan tahap cahaya semula jadi di dalam bilik, sekali gus menampakkannya seolah-olah seperti bingkai gambar di dinding,” katanya selepas majlis pelancaran, di sini, semalam.

The Frame akan berada di pasaran bermula 15 Ogos ini dengan harga runcit RM14,999 untuk model 65 inci dan RM9,999 bagi model 55 inci.

Hadir sama, Presiden SME, Lee Sang Hoon, Ketua Unit Perniagaan AV, Vincent Lee, Pengarah dan Arkitek Nu Infinity Sdn Bhd, Nick Fong dan Pengarah Rekaan Surface R Sdn Bhd, Sam Leong.

Tan berkata, bagi memastikan The Frame berupaya meningkatkan suasana dan hiasan, ia didatangkan dengan pilihan bingkai seperti walnut, kayu beige dan putih yang memberikan pengguna fleksibiliti.

“Dalam memaparkan integrasi seni, rekaan dan teknologi, kami berbesar hati bekerjasama dengan firma rekaan hiasan dalaman terkemuka seperti Nu Infinity, Santa Fe Interior Architecture dan Surface R khususnya untuk The Frame,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 3:49 AM