Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Halal Fiesta ASEAN (HALFEST ASEAN) 2017 dilihat sebagai platform terbaik kepada usahawan tempatan daripada pelbagai segmen sektor halal untuk mempromosikan produk halal masing-masing sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Ketua Sekretariat HALFEST ASEAN 2017 Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, bagi memperkasakan bidang dan industri halal oleh usahawan tempatan, pameran berkenaan adalah destinasi terbaik untuk orang ramai serta pelabur.

Beliau berkata, acara itu juga adalah pameran terbesar di Asia Tenggara yang menghimpunkan 550 pempamer dari seluruh negeri serta beberapa negara luar seperti Thailand, Kazakhstan, Taiwan dan Jepun.

“HALFEST ASEAN 2017 bertujuan memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenal serta mempromosikan produk halal masing-masing kepada orang ramai kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Malah, mereka juga boleh berurus niaga seperti menjalankan padanan perniagaan, perbincangan serta mempamerkan produk berkualiti dan yang penting halal dalam segenap aspek,” katanya, di sini.

HALFEST ASEAN 2017 akan diadakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Ogos bertempat di Pusat Konvensyen dan Pameran Mines (MIECC) Seri Kembangan yang dibuka seawal jam 11 pagi hingga 9 malam tanpa dikenakan sebarang bayaran masuk.

Selain pempamer produk halal, pameran itu turut membawakan Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain pembabitan keseluruhan kementerian.

Mohd Shukri berkata, kehadiran BNM, JAKIM serta MARDI adalah usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai proses untuk memohon status halal serta kajian dan penyelidikan yang boleh dilaksanakan.

Menurutnya, usahawan boleh terus mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan sijil halal serta proses berkaitan di samping memperkukuh kemahiran dan selok-belok dunia halal.

“Kita mahu usahawan tempatan tahu dan sedar akan kepentingan dalam memperoleh pensijilan halal serta proses sepanjang permohonannya, jadi tidak timbul isu susah atau sebaliknya,” katanya.

Mengenai sasaran kunjungan orang ramai pada tahun ini, beliau berkata, pihaknya yakin ia dapat menarik kira-kira 100,000 orang dalam tempoh lima hari ia berlangsung.

Malah, katanya, HALFEST ASEAN 2017 itu juga dijangka dapat menjana nilai jualan langsung sebanyak RM7 juta daripada segmen produk halal seperti makanan dan minuman, kosmetik, fesyen, penerbitan, farmaseutikal, takaful dan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 4:18 AM