AZRA’I Shu’ib
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) memperuntukkan pembiayaan RM2 juta melalui Dana Mudah Cara Usahawan Teknologi TPM (TFF) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membantu syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah program inkubatornya.

Pengurus Besar Pembangunan Inkubasi dan Usahawan Teknologi Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Taman TPM Azra’i Shu’ib berkata, program itu membolehkan setiap syarikat pemula dan PKS terbabit mendapatkan pembiayaan mudah sehingga RM50,000 dengan kadar faedah tiga peratus.

“Kami berhasrat mengagihkan dana ini kepada lima syarikat sebulan di mana pada masa ini, kami sedang menilai pemohonan beberapa syarikat yang membuat pemohonan sejak diperkenalkan pada Mac lalu,” katanya pada taklimat mengenai program inkubator TPM, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Taman TPM Shahazman Abu Samah dan Pengurus Kanan Jabatan Hubungan Pelanggan dan Pengurusan Sewaan Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Tamannya Nik Hazma Nik Mustafa.

Beliau berkata, kemudahan dana itu antara usaha untuk memberi pembiayaan mudah kepada syarikat yang mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan, sekali gus membantu syarikat berpotensi menghasilkan produk dan perkhidmatan untuk dipasarkan.

“Kami berhasrat menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan yang memiliki dana bagi meningkatkan jumlah pembiayaan ini pada masa depan berikutan TPM adalah agensi tunggal kerajaan yang memiliki lesen pinjaman dan diberi kebenaran untuk memberi pinjaman wang.

“Perkara ini masih di peringkat perbincangan kerana TPM perlu membuktikan kejayaan dan keberkesanan insentif dana ini kepada usahawan di bawah program inkubator kami sebelum mengambil langkah untuk meningkatkan jumlah dana melalui sumber luar atau dalaman,” katanya.

Menurutnya, TPM turut memperkenalkan dua insentif tahun ini bagi menarik penyertaan lebih banyak syarikat dalam program inkubatornya termasuk Program Mentor Stargazer yang memberi peluang kepada syarikat mendapatkan bimbingan daripada lebih 150 mentor dalam pelbagai industri dan buku rujukan dikenali ‘Strategik Playbook’.

Pada tahun lalu, sebanyak 435 syarikat berjaya menamatkan program inkubator TPM dengan 28 daripadanya kini disenaraikan sebagai syarikat awam di Bursa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 2:55 AM