SEBAHAGIAN pelajar berikrar ketika Minggu Perkasa Jati Diri di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


MINGGU lalu puluhan ribu pelajar melaporkan diri di universiti awam untuk mengikuti pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Pelbagai gelagat dapat disaksikan, ada segelintir datang sendiri untuk mendaftarkan diri tanpa ditemani ibu dan ayah atas beberapa faktor yang menghalang.

Malah bagi yang pertama kali berjauhan dengan keluarga dilihat menangis teresak-esak kerana perlu menjalani kehidupan berdikari di perantauan tanpa ibu dan ayah.

Apa yang pasti, peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah sesuatu yang membanggakan selepas segala usaha dan penat lelah terbalas dengan gelaran mahasiswa.

Berjauhan dengan ibu bapa tidak seharusnya menjadi tiket kepada penuntut untuk bebas melakukan apa sahaja, malah perlu diingat alam universiti juga bukan tempat untuk mencari jodoh kerana bimbang berlaku kesilapan sehingga tidak tamat pengajian.

Walaupun ada yang mengatakan universiti adalah tempat untuk mencari jodoh kerana masing-masing melanjutkan pengajian bersama tapi adakah ia akan menuju kebahagiaan? Mungkin ada yang mengiakannya dan ada juga tidak.


Pemain bola jaring kebangsaan, Nur Aina Aishah A Azmi (kiri) danMiss World Malaysia 2018, Larissa Ping Liew turut mendaftar di Universiti Malaya.

Situasi di universiti sebenarnya jauh berbeza dengan alam kehidupan normal manusia yang lain. Kebanyakan pelajar yang memasuki universiti adalah dalam lingkungan usia 20-an. Masing-masing sudah mengenali apa itu erti percintaan.

Mungkinkah ada segelintir penuntut yang menyimpan hasrat itu untuk mencari jodoh di universiti?

Bagi mengetahui perkara itu lebih lanjut, wartawan Bestari Harian Metro menemu bual Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Ibrahim untuk mengulas.

Dr Mohammad Shatar berkata, isu mencari jodoh di universiti sering kali disalah faham oleh mahasiswa apabila berasakan gedung ilmu adalah tempat atau lokasi yang sangat strategik untuk mencari pasangan hidup mereka.

"Di situlah mereka berasakan pasangan sangat sesuai berdasarkan bidang dan tahap intelektual dan sebagainya.

"Tapi barisan mahasiswa kena sedar, universiti sebenarnya bukan tempat mencari jodoh dan kadangkala universiti boleh menjadi tempat yang sering kali berlaku kesilapan sekiranya mereka mendapatkan jodoh," katanya.

Katanya, terdapat beberapa sebab mengapa universiti bukan tempat yang sesuai dijadikan tempat mencari pasangan.

Tujuan utama mahasiswa memasuki universiti adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan sebaik tamat pengajian.

"Apa yang seharusnya dilakukan mereka adalah untuk memastikan kecemerlangan akademik dalam konteks memiliki ijazah kelas pertama.

"Pada masa yang sama, mereka perlu menumpukan masa dan tenaga untuk mendapatkan kemahiran atau peluang tambahan yang disediakan pihak universiti sepanjang pengajian mereka.

"Kombinasi antara kecemerlangan akademik dan juga memiliki kemahiran yang kita panggil beyond academic (melebihi kemahiran akademik) ini sangat perlu serta penting untuk kemajuan selain kecemerlangan mereka pada masa depan," katanya.


GELAGAT pelajar dan ibu ketika sesi pendaftaran pelajar baharu.

Sekiranya mahasiswa tidak memberikan fokus kepada dua agenda utama itu pastinya mereka kecundang ataupun berdukacita apabila keluar dari universiti.

"Sudah pasti sebagai mahasiswa, anda mempunyai masa yang terhad dan untuk mempunyai rakan wanita atau lelaki, bakal isteri atau bakal suami sudah pasti memerlukan pengorbanan masa yang banyak untuk dikongsi bersama.

"Selain itu, gangguan emosi juga akan berlaku sepanjang perkenalan atau perhubungan mereka dan jika ini berlaku pastinya akan memberi kesan kepada prestasi akademik mereka. Seharusnya masa ini diperuntukkan untuk mendapatkan pelbagai kemahiran," katanya.

Dr Mohammad Shatar memberitahu berdasarkan perbandingan yang jelas, ramai dalam kalangan graduan atau mahasiswa yang memberikan fokus atau penumpuan akademik serta kemahiran, mereka mampu muncul cemerlang pada akhir pengajian.


RAKAN dan suasana baharu diperoleh sebaik bergelar mahasiswa.

Beliau juga meminta mahasiswa supaya tidak kecewa atau tergesa-gesa dalam hal pencarian jodoh.

"Sabar dan pastikan anda habis dalam pengajian, sebaik tamat pengajian dan memperoleh jawatan baik dalam kerajaan dan swasta, di situlah masa yang sesuai untuk anda mencari pasangan.

"Saya yakin pilihan anda selepas tamat pengajian jauh lebih baik daripada pernah terfikir ketika berada di universiti kerana coverage (liputan) jauh lebih besar daripada apa yang ada di universiti," katanya.

Ini kerana katanya, universiti satu tempat yang terkawal dan terhad menyebabkan pilihan juga terhad serta tidak semestinya jodoh itu berada di universiti.

"Jika kita lebarkan ruang kita ke seluruh Malaysia, pasti kita akan mendapat pilihan jauh lebih baik daripada yang berada di universiti tempat kita belajar," katanya.

Tegas beliau lagi, dua perkara itulah yang menyebabkan mahasiswa tidak digalakkan menjadikan universiti sebagai tempat mencari jodoh.

Katanya, bagi melahirkan graduan yang kompeten dan holistik, mahasiswa seharusnya memberi penumpuan kepada akademik dan juga kemahiran tambahan supaya kecemerlangan terus menjadi keutamaan mahasiswa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 9:29 AM