KUPTM melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


KADAR kebolehpasaran mahasiswa Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur yang mencapai lebih 70 peratus membuktikan program yang ditawarkan institusi pengajian itu berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.

Naib Canselor KUPTM, Profesor Madya Dr Darulihsan Abdul Hamid berkata, menjadi keutamaan KUPTM menyediakan program berdaya saing, di samping menyediakan pensyarah yang memiliki kelayakan akademik diakui dan kompeten.

"Keistimewaan pelajar KUPTM lebih lengkap apabila mereka didedahkan dengan elemen pembelajaran secara praktikal yang diterima industri serta berorientasikan Revolusi Industri 4.0 sejajar dengan keperluan industri.

"Setakat ini, KUPTM menawarkan 24 program dari pelbagai peringkat pengajian merangkumi asasi, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, katanya, KUPTM turut menawarkan dua program profesional iaitu sijil Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan sijil Profesional Asas (CAT).

Menurut Dr Darulihsan, pengambilan baharu bagi sesi akademik September kini dibuka dan KUPTM menyediakan lebih 700 tempat bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program yang ditawarkan, struktur kursus dan yuran pengajian, mereka boleh memuat turun aplikasi KEDU2U melalui App Store atau Play Store.

“Pelbagai insentif disediakan kepada pelajar yang mendaftar termasuk program ijazah sarjana muda,” katanya.

KUPTM turut membantu pelajar mendapatkan pembiayaan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagaimanapun tertakluk kepada terma dan syarat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Rakyat.

Katanya, KUPTM yang terletak berdekatan dengan pelbagai kemudahan asas turut menyediakan pelbagai kelengkapan pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar seperti bilik kuliah berhawa dingin, pusat pelajar, makmal komputer yang dilengkapi pelbagai perisian terkini, jamming studio dan sebagainya.

Kemudahan lain seperti penginapan dan pengangkutan bagi pelajar yang memerlukan turut disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 9:17 AM