HiREG memenangi dua anugerah selain mendapat pingat emas bagi projek inovasi ini.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Dua kumpulan dari Politeknik Merlimau, Melaka (PMM), HiREG dan Hervullen muncul johan bagi pameran terbaik inovasi di Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif Horizon Baharu Peringkat Kebangsaan 2019 (KIKHB’19).

Kejayaan itu diraih menerusi penghasilan produk papan permainan adaptasi daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW (Hijrah Rasulullah Education Board Game) dan Sensor Water Dispenser.


HASBULLAH (dua dari kiri) bersama pemenang lain.

Ketua Kumpulan HiREG, Mohamad Hasbullah Mustafa berkata, projek yang diketengahkan itu adalah sebuah inovasi Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM) Islamik Berasaskan Permainan (edutainment) yang dikenali sebagai Hijrah Rasulullah Education Board Game (HiREG).

“Inovasi ini turut melayakkan HiREG muncul tempat ketiga bagi kategori Bidang Sosial (Penciptaan atau Penambahbaikan) dan dianugerahkan pingat emas.

“HiREG kini berada di pasaran sejak Mei lalu, dan terjual sebanyak 1,000 unit,” katanya.

Konvensyen yang berlangsung di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah itu disertai 41 pasukan.


KUMPULAN HiREG dan Hervullen yang menyertai KIKHB2019.

Dua kategori utama dipertandingkan iaitu Kategori Penyampaian Perkhidmatan dan Kategori Sosial.

Acara tahunan yang diadakan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Selain itu, KIKHB’19 juga memberi pendedahan kepada peserta dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran seperti berfikir secara kreatif, kemahiran mengaplikasikan kaedah serta teknik dalam penghasilan projek selain pengetahuan berkaitan pengembangan projek.

Peserta juga berpeluang mengumpul idea yang kreatif dan inovatif dalam satu platform khusus untuk perkongsian maklumat serta kepakaran.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Hervullen, Mohd Razali Hassam berkata, inovasi Sensor Water Dispenser rekaan kumpulannya bertujuan membantu mengisi air pada bekas dalam kadar yang bersesuaian melalui sistem pengesan (sensor) dan mempunyai beberapa fungsi lain pada sensor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:31 AM