PELAJAR mencuba alatan digital di kelas Future Classroom.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


MEWUJUDKAN kelas masa depan (Future Classroom) di sesebuah sekolah bukan mudah kerana banyak cabaran dan halangan perlu dilalui warganya.

Modal yang banyak perlu dilaburkan, selain memerlukan individu benar-benar pakar dalam teknologi digital bagi memastikan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah lebih berkesan kepada generasi muda.

Bagaimanapun, sejajar dengan perkembangan teknologi dan kehidupan pelajar yang dekat dengan gajet, Future Classroom yang menggunakan peralatan teknologi terkini dilihat membantu PdPc dengan lebih baik.

Kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) itu sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih interaktif serta mampu menambah keceriaan selain merangsang minat pelajar.

Pengetua Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan (SEMESTI), Perak, Naharudeen Othman berkata, terdapat satu kelas Future Classroom disediakan di sekolah itu sejak pertengahan bulan lalu.

Katanya, dengan sokongan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, alumni serta komuniti setempat, sekolah itu membina

Future Classroom yang bernilai lebih RM25,000 dilengkapi kemudahan teknologi untuk kegunaan PdPC.

Naharudeen mengakui warga sekolah berbangga apabila usaha mewujudkan Future Classroom juga dibantu Putra Future Classroom (PFT) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut bekerjasama dalam penjanaan sumber awam pengumpulan dana melalui sistem Bantuan Infrastruktur dan Teknologi Sekolah (BITS) dari Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP).


REPLIKA bahan eksperimen turut digunakan di dalam kelas Future Classroom.

“Future Classroom bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang berhasrat membuat perubahan besar terhadap pendidikan termasuk dalam memperkasa kemahiran ICT.

“Program ini memperkenal bilik darjah berkonsep futuristik dan menghasilkan proses pengajaran serta pembelajaran secara efektif dengan penggunaan kemudahan peralatan teknologi komunikasi selain maklumat (ICT) bagi menyokong Flipped Classroom,” katanya.

Katanya, Flipped Classroom adalah pedagogi (kaedah pendekatan pengajaran) berpusatkan kepada pelajar yang mana memerlukan pelajar itu sendiri membuat pembentangan di dalam bilik darjah

“Melalui Future Classroom pula, ia akan berperanan menyediakan medium kepada pelajar untuk pedagogi Flipped Clasromm yang digunakan dengan kedua-dua ini saling membantu.

“Pada masa sama, Future Classroom turut memberi ruang kepada pelajar menggunakan teknologi untuk menyokong dan mengukuhkan pembentangan,” katanya.

Naharudeen berkata, warga sekolah bersyukur apabila PFT UPM bersedia menjadi pemudah cara menerusi BITS untuk membantu SEMESTI mencari penyumbang bagi merealisasikan Future Classroom di sekolah itu selain menyediakan kepakaran untuk melatih guru menggunakan teknologi digital.

“Pembabitan pelajar melalui Future Classroom menjadikan mereka tidak lagi pasif ketika proses PdPc berlangsung.

“Pendidik juga dilihat sudah pun bersedia mendepani PAK21 dengan mengaplikasikan penggunaan digital ketika proses pengajaran di bilik darjah,” katanya.


PERLU kreatif bagi memastikan kelas aktif dan seronok.

Katanya, kaedah PdPc lebih berkesan dalam dunia pendidikan terkini kerana pelajar didedahkan dengan pembelajaran tanpa syarahan apabila

sesi pembelajaran berlangsung. Antaranya menggunakan video ‘compression,’ pembelajaran secara dalam talian dan pengajaran siber.

“Kaedah pembelajaran yang lebih berkonsepkan didik hibur bukan sahaja memudahkan murid memahami sesuatu yang dipelajari, malah dapat memberi pengalaman baharu kepada pelajar.

“Future Classroom yang berlangsung hampir tiga minggu sudah menampakkan hasil apabila hampir 100 peratus pelajar dapat mengikuti proses PdPc dengan seronok dan pergerakan aktif di dalam kelas turut dikesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penjenamaan EduBITS Sdn Bhd, Dr Mohd Zairul Mohd Noor, berkata BITS mempunyai tujuan murni untuk membantu sekolah daif dalam menaik taraf sistem pendidikan dan membawa konsep Future Classroom ke peringkat nasional yang membanggakan negara.

Katanya, BITS berkonsepkan sistem dalam talian untuk membantu sekolah dalam menjadikan Future Classroom satu realiti dengan menggabungkan beberapa entiti iaitu sekolah, penyumbang (ibu bapa dan komuniti), guru dan juga pencari bebas (freelancer).

“Sekolah boleh membuat pendaftaran di platfom BITS dan menyatakan hasrat dalam penambahbaikan pedagogi guru mereka.


PENGGUNAAN telefon pintar turut digunakan sebagai kaedah menarik PdPc.

“BITS pada umumnya medium untuk membantu sekolah dengan mengumpulkan dana daripada orang ramai untuk menjayakan sebarang projek penambahbaikan dari setiap aspek kepentingan kecemerlangan sekolah, terutama mewujudkan Future Classroom,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor, Mazita Mansor, berkata pendidik mengalu-alukan platform seperti BITS terutama dalam merealisasikan program Future Classroom untuk mendepani PAK21 serta permasalahan di sekolah.

Katanya, membaik pulih infrastruktur teknologi sekolah, perolehan kecil teknologi, penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran serta latihan dalam pengintegrasian teknologi bagi guru di sekolah dikenal pasti sebagai masalah yang perlu ditangani guru dan sekolah.

“BITS menjadi pemudah cara bagi permasalahan yang berlaku di sekolah dalam mendapatkan rangkaian komuniti dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu memberi sumbangan dana dan kepakaran untuk kemajuan sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:16 AM