NORAINI (tengah) bersama pelajarnya yang mengikuti pertandingan fesyen.
FESYEN yang pelbagai di pasaran memerlukan tukang jahit lebih kreatif.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@mediaprima.com.my


INDUSTRI Jahitan adalah aktiviti penghasilan pakaian yang mampu membuka ruang lebih luas kepada individu kreatif untuk meneroka dunia perniagaan. Malah ia antara bidang yang berpotensi dijadikan kerjaya dan menjana pendapatan sama ada sambilan atau sepenuh masa.

Bidang itu memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam meneroka pasaran menerusi kepelbagaian seni kreatif yang dihasilkan.

Ia bukan saja membabitkan pakaian malah turut membabitkan bidang kraf, dekorasi rumah, bilik tidur, mainan kanak-kanak dan sebagainya.

Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Batu Gajah, Perak, Noraini Mohamad Nor berkata, industri jahitan hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Keadaan itu mendorong ramai mengambil peluang menjadikan industri ini sebagai lubuk rezeki berbekalkan kemahiran dalam bidang jahitan.

“Biasanya menjahit hanya dalam kalangan wanita, tapi kini lelaki mulai memenuhi bidang fesyen dan jahitan.

“Mungkin ada beranggapan kemahiran menjahit hanyalah untuk membantu memperbaiki kelangsungan hidup diri sendiri atau keluarga. Namun, bagi yang memiliki matlamat menambah baik kehidupan mereka, kemahiran yang dipelajari itu sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Katanya, bidang jahitan kini menjadi salah satu pilihan kalangan pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam menyambung pengajian dalam kemahiran.

Dikatakan sebanyak 16 kolej komuniti di negara ini menawarkan program fesyen dan jahitan mendapat sambutan baik dalam kalangan belia, bukan sahaja golongan wanita malah lelaki juga semakin ramai menceburi bidang itu.

“Industri jahitan pada masa akan datang mampu menjana sumber kewangan yang kukuh. Ini suatu peluang dan pendedahan baharu kepada mereka memanfaatkan apa yang dipelajari ketika kursus seperti membuat pola, menjahit dan mempersiapkan perincian serta perhiasan pakaian.

“Kita sedia maklum pakaian antara keperluan harian yang sentiasa mendapat permintaan. Keinginan dan kepuasan dalam mengenakan pakaian yang cantik, berkualiti serta mengikut trend terkini sentiasa wujud dalam diri manusia.


MELUKIS rekaan pakaian antara kemahiran yang perlu ada untuk menjadi tukang jahit.

“Tambahan pula, fesyen pakaian sentiasa berubah mengikut peredaran masa,” katanya.

Menurut Noraini, bidang jahitan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar menarik perhatian kerajaan kerana industri itu mampu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat dan negara.

“Sehubungan itu, kerajaan berusaha menubuhkan institusi pendidikan dan program yang menawarkan kemahiran menjahit kepada orang ramai bagi tujuan melahirkan lebih ramai pakar mahir dalam bidang jahitan sejajar dengan permintaan akan datang,” katanya.

Noraini memberitahu untuk menjadi tukang jahit yang berkebolehan, antara kemahiran perlu dipelajari adalah kemahiran dalam mereka atau melukis rekaan pakaian, teknik membuat pakaian, pemahaman tekstil dan keusahawanan dalam industri fesyen serta pakaian.

Selain itu katanya, tukang jahit perlu kreatif dan bijak dalam memberikan cadangan kepada pelanggan, fesyen yang bersesuaian dengan imej dan personaliti pelanggan.

“Kemahiran komunikasi yang baik juga perlu ada pada tukang jahit kerana ia membantu dalam menarik lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan khidmat menempah pakaian,” katanya.

Katanya, industri jahitan juga berdepan cabaran apabila perlu berhadapan dengan pesaing luar dan dalam industri sama terutama bagi mereka yang sudah lama menapak dalam pekerjaan itu.

Di samping pesaing katanya, cabaran lain adalah golongan pelanggan itu sendiri.


BIMBINGAN pakar perlu bagi menghasilkan tukang jahit mahir.

“Tukang jahit atau pereka perlu berhadapan dengan masalah yang kadang kalanya remeh, tetapi apabila berkaitan dengan pelanggan, perlulah ditangani dengan baik dan bijak kerana pelanggan adalah nadi utama sesuatu perusahaan,” katanya.

Kolej Komuniti di Malaysia menawarkan dua jenis program pengajian di bawah bidang Fesyen iaitu Program Sepenuh Masa dan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (Kursus Pendek).

Bagi tempoh pengajian Program Sepenuh Masa Fesyen dan Pakaian adalah selama dua tahun manakala tempoh bagi Program Pembelajaran Sepanjang hayat (Kursus Pendek) adalah mengikut pengiraan jam dan hari bergantung pada kursus ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:12 AM