HALIMATUL BASYIRAH (kanan barisan kedua) bersama rakan mahasiswa di Mesir.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@mediaprima.com.my

GEMAR membuka kelas menghafaz al-Quran mendorong pelajar dalam jurusan Syariah, Halimatul Basyirah Saripuddin, 22, dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir menghafaz 20 juzuk dalam masa 33 hari.

Halimatul Basyirah dari Cheras, Kuala Lumpur yang begitu meminati bidang keagamaan pernah dihalang keluarga untuk menyambung pengajian di bumi anbiya itu kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

“Pada 2016, saya mendapat tawaran dari tiga universiti iaitu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Bahasa Arab, Universiti Indonesia Negeri (UIN) Acheh dalam bidang Syariah dan Universiti Al-Azhar juga dalam bidang Syariah.

“Awalnya, ibu bapa saya tidak membenarkan saya ke Mesir disebabkan khuatir dengan keselamatan di sana.

“Bagaimanapun, saya tekad sambung belajar di bumi kinanah ini dan kemudian memaklumkan kepada mereka, saya akan gunakan semua duit gaji dan duit simpanan untuk perbelanjaan di sana kerana mahu membuktikan ‘keseriusan’ ke Mesir,” katanya.

Dia bersyukur urusan pengajian ke Mesir dipermudahkan dan ibu bapa akur serta menerima dengan hati terbuka keputusannya itu demi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Halimatul Basyirah yang juga Alumni Yayasan Karantina Tahfiz Nasional (YKTN) Jawa Barat, Indonesia pada tahun lalu turut aktif sebagai aktivis Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir).

Beliau memberitahu, bukan sekadar penghafaz al-Quran dan penuntut bidang agama di Mesir, malah dia turut aktif dalam aktiviti kesukarelawanan antarabangsa yang banyak dianjurkan YDKMM Mesir.

Selain itu, pengalaman menjadi penterjemah bahasa Arab ke bahasa Melayu dalam pertemuan delegasi pusat YDKMM bersama Parlimen Antarabangsa Al-Azhar meningkatkan kemahiran berkomunikasi beliau.

“Hal ini banyak mengajar saya untuk lebih yakin dalam berinteraksi dengan penuntut di Mesir dari seluruh pelosok dunia seperti Russia, Perancis, Bangladesh, Kyrgystan, Kazakhstan, Korea Selatan, Filipina, Afrika dan China.

“Kefasihan menyebabkan ramai yang menggelarkan saya ‘Misriyyah’ yang bermaksud wanita Mesir kerana boleh berbahasa Arab tempatan dan fushah,” katanya.

Halimatul Basyirah bersyukur biarpun lahir daripada keluarga sederhana, keluarganya banyak memberi sokongan untuk meneruskan pengajian serta membenarkan dia aktif mengikuti aktiviti kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sebenarnya, yang banyak mendorong saya menjadi orang yang berfungsi dalam masyarakat ini adalah tarbiah (didikan) daripada al-Quran tu sendiri.

“Saya belajar bermula daripada kosong sehinggalah meraih pelbagai kemahiran sama ada dalam bidang akademik, perniagaan, kesukarelawanan dan komunikasi.

“Dari situ, saya dapat melonjakkan diri. Saya dulu bukanlah pelajar terbaik di sekolah, cuma aktif menyandang pelbagai jawatan selain cergas dengan kokurikulum sehingga ke peringkat negeri.

“Apa yang boleh saya katakan adalah suka mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 9:53 AM