PENYERAHAN sumbangan peralatan kepada Madrasah Cuchi.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


BADAN Kaunselor (PEERS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban memperkenalkan kebudayaan luar negara kepada pelajarnya melalui program kemasyarakatan PEERS Fly Away: Vietnam Together We Are One buat pertama kalinya di Ho Chi Minh, baru-baru ini.

Program yang disertai 18 ahli PEERS dan dua penasihat bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa berkenaan kebudayaan luar negara, melahirkan individu yang berpotensi, berkaliber dan berkarisma dari aspek sahsiah serta spiritual.

Pada masa sama, program berkenaan diadakan bagi menanam rasa tanggungjawab dan sifat sukarelawan dalam memberikan khidmat sosial kepada masyarakat.

Pengarah program, Nur Faiqah Mohd Ngasri berkata, PEERS memilih dua madrasah di Ho Chi Minh City iaitu Madrasah Al-Nur dan Madrasah Cuchi dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi merapatkan silaturahim bersama anak-anak Muslim di situ.

“Pelbagai sumbangan turut diberikan bagi kegunaan madrasah seperti peralatan pejabat, papan putih, makanan dan sebagainya.


SLOT Sukaneka dan Oh My English! bersama pelajar Madrasah Al-Nur.

“Kami juga memberi sejumlah wang sumbangan hasil daripada kutipan rakyat Malaysia bagi tujuan pembangunan dan pembaikan madrasah,” katanya.

Nur Faiqah memaklumkan, walaupun majlis berjalan lancar, mereka turut berdepan cabaran sepanjang program iaitu masalah bahasa.

“Kebanyakan masyarakat Muslim di Vietnam tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris. Ini menyukarkan kami untuk berinteraksi dengan mereka.

“Bagaimanapun, program antarabangsa kali pertama Badan PEERS Kampus Seremban ini banyak memberi pengalaman serta pengetahuan kepada ahli dalam melakukan aktiviti kemasyarakatan di negara orang,” katanya.

Katanya, kejayaan program PEERS itu akan terus menyuntik semangat peserta untuk meneruskan program antarabangsa yang lebih hebat dan berimpak tinggi pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:01 AM