KUMPULAN EUREKA bersama hadiah yang dimenangi.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


EUREKA dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menjuarai Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi anjuran Proton, baru-baru ini.

Kemenangan itu sekali gus mengalahkan 11 kumpulan yang bersaing dalam pembentangan akhir inovatif berkenaan.

Tempat kedua dimenangi kumpulan Alpha dari Taylor’s Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor manakala tempat ketiga kumpulan Alpha Visionaries dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.

Pusingan akhir itu memerlukan peserta membuat pembentangan di hadapan tujuh juri yang terdiri daripada pengurusan kanan Proton, pakar industri pemasaran dan pengamal media. Ketua juri yang juga Pengarah Jualan dan Pemasaran Proton, Cheng Seng Fook berkata, selepas meneliti setiap pembentangan, kumpulan yang mendapat skor keseluruhan tertinggi diumumkan sebagai pemenang.

“Tahap pemikiran asli, daya kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan setiap kumpulan pada peringkat akhir memberi kejutan kepada juri.

“Kami juga pernah menjadi pelajar seperti mereka, jadi kami tahu untuk membentangkan idea kepada barisan pakar di industri memerlukan banyak latihan dan keyakinan diri.

“Bagi saya, setiap peserta kumpulan pada peringkat akhir ini adalah pemenang yang mempunyai masa depan cerah dalam mana-mana industri yang mereka mahu sertai kelak,” katanya.

Pertandingan itu yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan bermula pada April dan tamat Julai lalu.

Selain itu, ia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pusingan penyingkiran, separuh akhir dan pusingan akhir.

Menariknya pertandingan yang bertujuan membina bakat dalam kalangan pelajar pendidikan tinggi,

Proton dan Kementerian Pendidikan itu turut mempunyai matlamat yang sama bagi mempromosikan kemahiran keusahawanan dimiliki pelajar ke peringkat lebih tinggi.


SALAH satu kumpulan melakukan pembentangan akhir.

Bagi merebut gelaran juara, peserta perlu merancang dan menggerakkan kempen mereka untuk Proton X70 di bandar berhampiran institut pengajian tinggi (IPT), selain turut menganjurkan dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Melalui program ini, Proton dan peserta bekerjasama untuk berbakti kepada komuniti serta komited meningkatkan kualiti hidup di Malaysia.

Di samping itu, mereka juga ditugaskan untuk menyediakan pelan kekal yang boleh dilaksanakan menjurus kepada penjualan SUV di beberapa bandar seluruh Malaysia.

Kerja berpasukan dalam kalangan peserta sangat penting kerana tugas yang dilakukan sangat kompleks untuk diselesaikan oleh seorang peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:00 AM