PERTANDINGAN kecantikan yang diikuti Thanuja.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


INDUSTRI dandanan rambut semakin berkembang dengan kemunculan banyak salun pelbagai konsep sekali gus membuka peluang pekerjaan termasuk perkhidmatan menggunting rambut.

Berbekalkan kemahiran tinggi dalam bidang itu membolehkan seseorang menjalankan perniagaan.

Bagi mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu tetapi tidak mempunyai modal untuk membuka salun, kebanyakan memilih spa rambut bergerak dengan menawarkan perkhidmatan gunting dan penjagaan rambut profesional.

Peluang itu tidak dilepaskan seorang graduan dari Kolej Komuniti Kota Melaka, Melaka, M Thanuja apabila menjalankan spa rambut bergerak ketika di tahun pertama Diploma Dandanan Rambut, kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun ragu-ragu kerana masih baharu dalam bidang dandanan rambut, dia nekad menjalankan spa bergerak itu kerana mahu meningkatkan kemahiran dalam bidang dandanan.

“Saya tidak mahir dalam bidang dandanan rambut kerana ketika di peringkat sijil mengambil bidang terapi kecantikan dan spa.

“Namun berbekalkan semangat yang tinggi dan kepercayaan tenaga pengajar terhadap kemahiran saya membuatkan diri ini bersemangat untuk melakukan spa rambut bergerak.

“Syukur, perniagaan dijalankan semakin diterima dan lebih menggembirakan apabila pelanggan saya terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya.

Katanya, bagi memastikan ramai yang tertarik dengan pakej spa rambut bergerak itu, dia turut melakukan pelbagai promosi sebagai strategi pemasaran dalam talian.

“Saya juga mempunyai kemahiran dalam pembuatan inai, jadi saya turut gabungkan dalam pakej spa rambut.

“Selain itu, saya memberikan beberapa produk penjagaan kecantikan secara percuma kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, industri dandanan rambut pada masa ini dan akan datang lebih meluas apatah lagi dengan kehadiran spa rambut bergerak yang memberikan kemudahan kepada pelanggan kerana mereka tidak perlu bersesak untuk keluar ke salun.

“Spa rambut bergerak memberikan manfaat kerana selain dapat menjimatkan kos dan masa pelanggan, ia juga membuka peluang kerja untuk usahawan yang mahu menjadikannya sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran sebagai pendandan rambut, Thanuja berkata, tidak mudah untuk dia mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana tidak ramai wanita India berani menceburi bidang dandanan rambut.

Katanya, industri itu seolah-olah dimonopoli kaum Cina yang memang cukup sinonim dengan pelbagai gaya rambut sebagaimana selebriti luar negara.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu turut aktif dalam pelbagai pertandingan dandanan rambut dan kecantikan ketika menuntut di kolej komuniti.

Antaranya menjadi juara Makeup Avangarte College Community Fashion Weeks dan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Terapi Kecantikan dan Spa serta Anugerah Pelajar Cemerlang Diploma Dandanan Rambut.

Mempunyai impian bergelar pakar dandanan rambut profesional dan mempunyai akademi dandanan sendiri, Thanuja berbangga apabila bakatnya dalam bidang itu membuka peluang kepadanya untuk berkhidmat di Kolej Komuniti Kota Melaka apabila ditawarkan sebagai tenaga pengajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:54 PM