WARGA sekolah SMK Taman Selayang menyambut acara kemerdekaan dengan meriah dan penuh patriotisme.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


BAGI menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar, program sambutan Bulan Kebangsaan dan Bulan Bidang Kemanusiaan dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang, Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, sambutan yang diadakan di Dataran Salahuddin Al-Ayyubi itu disambut dengan meriah dan bersifat patriotik.

Dimulakan dengan perarakan masuk perbarisan persatuan badan beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kadet Remaja Sekolah (KRS), Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengakap, acara turut diserikan dengan gimik pelancaran dengan menerbangkan drone.

Pengetua SMK Taman Selayang, Mhd Ariff Mhd Shariff berkata, sempena kemerdekaan Malaysia yang ke-62 tahun, pihak pengurusan sekolah terpanggil untuk menyuntik elemen kemerdekaan yang lebih mendalam kepada tenaga pengajar dan pelajar.

Beliau berkata, pada zaman ledakan era globalisasi ini, generasi muda harus mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing.

“Mereka perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik.

“Oleh itu, pelajar harus memahami dan menghayati sejarah perjuangan negara bagi mencapai kemerdekaan serta menjamin keamanan dan kemakmuran negara,” katanya.

Bagi memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan itu, guru turut berpeluang menyertai pertandingan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang.

Pertandingan itu dimenangi Motaza Noor Lasiman bagi kategori guru wanita manakala kategori guru lelaki dimenangi oleh Mhd Ariff.

Menurut Motaza Noor, dia yakin usaha guru menekankan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar memberi banyak pengertian kepada warga sekolah berkenaan.

Katanya, sepanjang Bulan Kebangsaan ini, SMK Taman Selayang menganjurkan pelbagai acara antaranya pertandingan melukis poster kemerdekaan, pertandingan kuiz, menulis sajak dan melukis peta Malaysia.

Sementara itu, pelajar, Muhd Azamil Ramli, 17, gembira dapat menjayakan pelbagai program sempena pelancaran Bulan Kebangsaan di sekolah itu.

“Program seumpama ini memupuk dan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga SMK Taman Selayang, saya berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Rakannya, Nurul Tasnim Mohamad Tarmizi, 17, menyifatkan program itu mampu meningkatkan sahsiah pelajar supaya terus cintakan tanah air.

“Saya berharap pelajar lain terus menyokong dan mengambil bahagian dalam setiap program dan aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:42 PM