NAZMI (kanan) bersama Rosed menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak yang berkhatan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


SERAMAI 29 sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) menjalankan program berkhatan ke atas 33 kanak-kanak berusia antara lima hingga tujuh tahun di Chana, Songkhla, Thailand, baru-baru ini.

Aktiviti berkhatan dan perkongsian maklumat kebersihan diri itu sebahagian daripada program kemasyarakatan antarabangsa anjuran sukarelawan UM iaitu Regional Unity and Devotional Adventure (REVOLVE) yang diadakan buat pertama kalinya.

Penasihat program, Dr Mohd Istajib Mokhtar berkata, program itu memberi peluang kepada penduduk Chana untuk memenuhi amalan sunah, malah membuka laluan buat mahasiswa UM untuk mengambil peranan sebagai ahli masyarakat serantau yang prihatin.

“Penduduk Islam di sini adalah kumpulan minoriti dan ada kekangan untuk melaksanakan amalan yang mungkin menjadi kebiasaan di negara kita seperti berkhatan,” katanya yang juga pensyarah kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, UM.

Katanya, kekurangan kemudahan kesihatan antara penyebab tidak ramai penduduk di situ melaksanakan khatan.

“Selain berkhatan, program turut menyampaikan ceramah penjagaan kebersihan diri seperti cara membasuh tangan yang sempurna dan teknik menggosok gigi yang betul kepada kanak-kanak.

“Saya yakin penganjuran aktiviti ini bukan sahaja memberi impak jangka pendek kepada kanak-kanak berkenaan, malah turut mempunyai impak jangka panjang kepada masyarakat setempat di pekan Chana,” katanya.

Pengarah Program, Nazmi Noor Kamarul Anuar berkata, peserta program teruja dapat berkongsi maklumat kebersihan bersama kanak-kanak di Sekolah Rendah Agama Tasdikiah.

“Saya percaya amalan kebersihan diri yang baik akan mempersiapkan kanak-kanak ini dan keluarga mereka untuk kehidupan yang lebih sihat kelak,” katanya yang juga penuntut tahun kedua Fakulti Kejuruteraan itu.

Proses berkhatan untuk kanak-kanak dilakukan doktor dan sukarelawan dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) cawangan Perlis.

Setiap peserta khatan diberikan cenderahati yang disampaikan Imam Masjid Tasdikiah, Rosed Benleahneah.

Program itu turut menyediakan platform kesukarelawanan kepada pelajar untuk mendepani isu perpaduan dan kesamarataan serantau tanpa mengenal batasan bangsa serta agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:40 PM