SRI JAIANDRAN (depan lima dari kanan), Lee (tengah) dan Foo (lapan dari kiri) bersama pemenang Data Intelligence Challenge.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@mediaprima.com.my


KOLEJ SEGi Kuala Lumpur (SCKL) dengan kerjasama SAS Institute Inc. (SAS), pemaju perisian analisis multinasional Amerika Syarikat, menjadi institusi pendidikan tinggi pertama yang menerima pakai dan menawarkan aplikasi CodeSnaps untuk kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara.

Bagi mewujudkan kesedaran berkenaan program pengekodan dan memupuk minat generasi muda mengenai data raya dan AI, SCKL dan SAS baru-baru ini menganjurkan bengkel latihan Pengurusan Data Raya dan CodeSnaps untuk 30 pelajar.

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam itu dari empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Mewah, Ampang; SMK Seri Mutiara, Kuala Lumpur; SMK Victoria, Kuala Lumpur dan Community Baptist Church (CBC) Learning Centre, Puchong, Selangor.

Pelajar turut menyertai pertandingan di bengkel itu iaitu Data Intelligence Challenge - Big Data & Artificial Intelligence: A Powerful Combination for the Future Growth.

CodeSnaps ialah pengekodan yang memerlukan hanya satu tablet dan satu robot yang menjadi inisiatif kepada bakal saintis data profesional untuk lebih bersedia dalam mengawal blok tanpa peranti serta melatih pekerja dengan pengetahuan Industri 4.0.

Melalui pertandingan itu, pelajar dipecahkan kepada enam kumpulan dan dikehendaki menggunakan CodeSnaps untuk menulis kod program

kecerdasan buatan (AI) untuk mengaktifkan serta menggerakkan robot.

Pelajar dicabar menggunakan konsep data raya, kemahiran analitikal dan kreatif untuk menyimpan, menganalisis, mengurus dan meramalkan serta melaporkan data untuk membuat keputusan.

Semua peserta yang mengambil bahagian menerima baucar latihan bernilai RM2,500 dari SAS dan sijil kehadiran dari SCKL.

CBC Learning Centre muncul johan manakala Victoria Institution naib johan dan SMK Seri Mutiara mendapat tempat ketiga pada pertandingan itu.

Peserta daripada ketiga-tiga kumpulan itu menerima baucar latihan bernilai RM5,000 setiap orang dan Biasiswa SCKL berjumlah RM90,000.

“Pekerjaan sebagai saintis data ini agak mencabar. Saya seronok kerana diberi peluang untuk meneroka dan menganalisis program pengekodan untuk mengawal mesin kecil dalam pertandingan.

“Kami juga mempelajari aspek lain seperti kesabaran untuk menempuh cabaran dan kepentingan kerja berpasukan,” kata ketua pasukan CBC Learning Centre, Lee Huan Yang.

Pelajar tingkatan enam dari Victoria Institution, Tasigen Visvanathan, gembira apabila pasukannya menjadi naib johan pertandingan Data Intelligence Challenge itu.

“Saya memang mengimpikan peluang seperti ini untuk mendapatkan pengalaman dalam kecerdasan data, kerana cita-cita menjadi seorang saintis aktuari.

“Pengetahuan asas dalam pengekodan ini pasti akan membantu saya pada masa akan datang. Sebagai sebuah pasukan, kami semua gembira dengan pengalaman dan pengajaran yang kami peroleh daripada bengkel serta pertandingan ini,” katanya.

Pengarah Urusan SAS, Cheam Tat Inn berkata, ini kali pertama pihaknya bekerjasama dengan SEGi bagi memperkenalkan aplikasi CodeSnaps untuk AI kepada pelajar.

“Sains komputer dan pengekodan adalah satu set kemahiran yang sangat diperlukan dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja.

“Kami mahukan lebih ramai pelajar mempelajari kemahiran ini kerana SAS memainkan peranan besar dalam menggalakkan mereka untuk mengikuti program itu.

“Aplikasi CodeSnaps ini berjaya menarik minat pelajar untuk belajar berkenaan pengekodan dan sains komputer,” katanya.

Turut hadir, Ketua Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi SEGi College Kuala Lumpur, David Foo Sek Kuan; Pengetua SCKL, Sri Jaiandran Munusamy dan Ketua Bahagian Pendidikan untuk Malaysia, Komuniti ekonomi ASEAN (AEC) dan Indonesia, Lee Mun Loong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:38 PM