KANAK-kanak Orang Asli ketika proses pembelajaran.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Pada 2016, tanpa perancangan kukuh, Pusat Transformasi Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UCTC UKM), Bangi, Selangor memulakan konvoi bersama 21 kenderaan pacuan empat roda menuju ke Pos Gob, Gua Musang, Kelantan.

Bagi mereka, misi utama adalah menyelamatkan penduduk Orang Asli suku Temuan dan berusaha memberikan kemudahan yang sepatutnya dinikmati mereka terutama pendidikan.

Sebanyak 22 kali kumpulan UCTC UKM menempuh perjalanan lebih 300 kilometer dari Bangi ke Gua Musang seterusnya Pos Gob.

Kembara dari Gua Musang ke Pos Gob pula kadangkala lebih sukar sehingga memakan masa lebih 10 jam sekiranya hari hujan kerana mereka berdepan laluan berselut dan basah.


SEBAHAGIAN aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan.

Usaha tanpa jemu kumpulan UCTC UKM itu akhirnya terbalas dengan kemenangan pada awal tahun ini apabila 22 kanak-kanak dan remaja Orang Asli berjaya dimasukkan ke sekolah kerajaan.

Semua kanak-kanak berkenaan dibawa UKM dan Selangor Rescue Adventure Team pada Februari lalu menaiki sembilan pacuan empat roda dari Kampung Gob ke Gua Musang yang memakan masa lapan jam.

Lebih tujuh bulan berada di alam persekolahan, kanak-kanak Orang Asli itu terus mengorak langkah demi masa depan diri dan keluarga yang ditinggalkan.

Kanak-kanak ini meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra, kedua-duanya di Gua Musang.

Pengarah UCTC UKM, Profesor Datuk Dr Rokiah Omar berkata, program Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic itu berjaya mengubah perspektif dan taraf hidup Orang Asli di Pos Gob.

“Apa yang boleh saya gambarkan perasaan pertama kali sampai ke Pos Gob ialah simpati dan kasihan dengan nasib Orang Asli di situ.

“Mereka kekurangan segala-galanya, termasuk pendidikan, kebersihan, infrastruktur dan air bersih. Rata-rata mereka hanya memperoleh antara RM50 sehingga RM200 sebulan untuk menyara keluarga dengan jualan hasil hutan,” katanya.

Katanya, beberapa pertemuan diadakan bersama masyarakat Orang Asli bagi mengetahui lebih lanjut keperluan penduduk di sana hinggalah mereka memaklumkan mahukan pendidikan.


SEBAHAGIAN kanak-kanak Orang Asli di hadapan bangunan sekolah.

Di Pos Gob dan kawasan sekitar itu terdapat 36 kanak-kanak dan remaja Orang Asli berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang tidak ke sekolah dan tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira).

Rata-rata ibu bapa menyatakan mereka tidak bersedia melepaskan anak-anak seawal tujuh tahun untuk tinggal di asrama. Ditambah pula dengan Tragedi Tohoi yang berlaku pada 2015 menambahkan lagi kebimbangan mereka.

“Awalnya, kami berpendapat untuk menghantar anak ini terus ke sekolah kerajaan terdekat, tetapi dihalang ibu bapa yang enggan berpisah dengan anak yang masih kecil.

“Bagaimanapun, saya harus tegas dan bagi memastikan anak Orang Asli tidak ketinggalan, saya memutuskan apabila anak itu berusia 10 tahun, mereka harus bersedia ke sekolah yang terletak kira-kira 70 kilometer dari pos itu,” katanya.

Dr Rokiah berkata, bangunan dikenali Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic ditubuhkan dengan kerjasama UKM, CIMB Islamic dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengembalikan kemahuan serta semangat anak Orang Asli untuk bersekolah.

“Usaha UKM dalam membantu pendidikan di Pos Gob disambut baik komuniti di sana dan mereka membina bangunan menggunakan bahan hutan untuk dijadikan pusat belajar.

“UKM juga melantik lapan belia di Pos Gob sebagai tenaga pengajar manakala satu jawatankuasa pemegang amanah ditubuhkan bagi mengawal selia perjalanan Pusat Pendidikan Komuniti itu.

“Selain memfokuskan aspek pendidikan, bangunan itu menjadi tempat rujukan kesihatan dan sosioekonomi bagi manfaat komuniti Orang Asli secara keseluruhan,” katanya.

Jelasnya lagi, belia yang menjadi tenaga pengajar turut dilatih oleh Pusat Pendidikan UKM bagi memastikan sukatan pengajian anak mengikuti silibus pendidikan negara.

“Hasilnya lebih 50 peratus kanak-kanak dan remaja Orang Asli boleh menguasai 3M dan bersedia ke sekolah harian, ia satu usaha yang menakjubkan,” katanya.

Susulan kejayaan projek Pusat Pendidikan Komuniti itu melayakkan UCTC UKM dianugerahkan Anugerah Bitara UKM 2019 (Penilaian 2018) yang disampaikan Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:48 AM