PELAJAR bersama staf Unimas menyertai beberapa aktiviti tanggungjawab sosial bersama komuniti setempat.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Dalam usaha merapatkan hubungan dengan pelajar dari universiti antarabangsa, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan, Sarawak menganjurkan Summer Programme bersama pelajar dari Universiti Yunnan, China.

Seramai 30 pelajar dari Universiti Yunnan diiringi dua pensyarah mengikuti program selama 10 hari itu yang bertemakan kenali Budaya, Nikmati Alam dan Lasak, baru-baru ini.

Pengarah Pejabat Canselori dan Hubungan Antarabangsa (Unimas Global), Azlan Ramli berkata, Unimas akan menerima tiga kumpulan delegasi untuk Summer Programme bagi tahun ini.

Katanya, program Mobiliti Inbound itu direka khas Unimas kepada pelajar antarabangsa dengan menawarkan pembelajaran yang pelbagai menerusi program disediakan.

“Ini membolehkan peserta program menimba pengalaman dan mengenali budaya Sarawak pada masa yang sama.

“Pelajar Universiti Yunnan dari pelbagai program pengajian akan merasai pengalaman dan mengenali budaya serta alam semula jadi di Sarawak, selain berinteraksi dengan Pelajar Unimas dan komuniti setempat,” katanya.

Antara aktiviti budaya yang dijalankan adalah lawatan, sesi kelas interaktif dan bengkel kraf tangan bersama pelajar Unimas.

Lawatan itu termasuk ke Kampung Budaya Sarawak, Fort Margherita, Tebingan Kuching dan muzium di sekitar Kuching.

Pelajar antarabangsa itu juga dibawa mendaki ke Taman Negara Bako, selain menyertai bengkel penyediaan makanan asal Sarawak dan bengkel kraf tangan membuat aksesori menggunakan manik Sarawak.

Bagi program bersama komuniti, pelajar itu menyertai beberapa aktiviti tanggungjawab sosial bersama dengan warga Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick Semadang, Padawan dan komuniti setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:36 AM