PELAJAR turut dinilai pihak hotel untuk mengetahui tahap kecekapan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Seramai 38 pelajar dari Taylor’s College dan Taylor’s University merasai pengalaman bermakna apabila diberi kepercayaan mengambil alih tugas operasi dan pengurusan di Holiday Inn Express, Kuala Lumpur selama lima hari, baru-baru ini.

Step 2.0: Hotel Takeover Programme itu membabitkan pelajar program Bachelor of International Hospitality Management di Taylor’s University dan Diploma in Hospitality di Taylor’s College.

Pelajar dibimbing dan didedahkan dengan kemahiran perkhidmatan pelanggan, selain menangani krisis serta pengurusan pekerja dari pelbagai bahagian seperti menyambut tetamu, sumber manusia, kewangan dan mengemas lobi hotel.

Program bertambah menarik apabila beberapa detik cemas turut dilalui pelajar sepanjang tempoh pengurusan itu.

Simulasi ‘kejutan’ turut dilakukan, termasuk gangguan bekalan elektrik, aduan tetamu, kecurian set televisyen dari bilik tetamu dan rompakan bersenjata.

Pelajar Diploma Pengurusan Hotel, Muhammad Namiq Rameez, yang dilantik sebagai pengurus bertugas berkata, antara simulasi yang paling mencabar adalah kehilangan set televisyen yang memerlukan pelajar bertanggungjawab untuk menyelesaikannya tanpa bantuan.

“Kami diberikan maklumat yang kurang tepat berkenaan masa kejadian mengakibatkan kelewatan untuk memperoleh rakaman litar tertutup yang betul.

“Akhirnya kami berjaya menganggarkan masa rakaman litar tertutup yang diperlukan dengan mendapatkan bacaan waktu pada kunci bilik itu,” katanya.

Rakannya yang dilantik sebagai pengurus besar dalam program itu, Grace Tan pula memberitahu program itu sangat berbeza dan memberikan pengalaman bermanfaat yang mungkin tidak diperoleh di latihan industri lain.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar menyelesaikan masalah, peka terhadap kehendak tetamu dan pengurusan hubungan sesama rakan sekerja.

“Sepanjang program ini, kami didedahkan kepada situasi kejadian sebenar supaya kami belajar bagaimana menyelesaikan masalah sebagai pekerja hotel.

“Ini memberikan kami peluang untuk berkomunikasi dan bekerjasama serta menggunakan pengetahuan kami dalam mengambil tindakan yang betul,” katanya yang kini mengikuti program Bachelor of International Hospitality Management.

Tugas lain yang dilakukan pelajar termasuk menangani aduan tetamu, memeriksa laporan, melakukan taklimat pagi, memeriksa setiap tingkat di hotel itu dan mempelajari sistem operasi hotel.

Pada masa sama mereka turut mengendalikan kerja pembersihan di bahagian lobi hotel, lif dan tempat makan.

Sementara itu, Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Riadah Taylor’s University, Dr A R Neethiahnanthan berkata, sektor perhotelan, pelancongan dan pengurusan acara berkembang dengan pesat dengan pihaknya berbangga dengan pertumbuhan industri itu.

“Pembelajaran bersepadu menjadi komponen penting bagi melahirkan graduan yang sentiasa bersedia untuk industri dengan mengaplikasikan pembelajaran dalam memimpin organisasi.

“Mendedahkan pelajar kepada projek industri, simulasi praktikal dan penempatan pekerjaan antara cara memperkasakan pelajar dari peringkat awal sebagai persediaan kepada pekerjaan sebenar,” katanya.

Program Taylor’s Hotel Takeover bermula pada 1999 di Holiday Inn Norwich North, United Kingdom yang membuka peluang kepada lebih 1,300 pelajar untuk belajar dan bekerja dalam industri perhotelan.

Pengurus Besar Holiday Inn Express Kuala Lumpur, Jonathan Lai, berkata Taylor’s Hotel Takeover bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan pengetahuan industri dan latihan yang diperlukan, malah kakitangan hotel lebih memahami apa yang perlu diperbaiki pelajar dan graduan untuk kebaikan program itu.

“Pelajar berpeluang bertanyakan soalan dan melakukan praktikal manakala kakitangan kami bersedia melatih, mengajar serta meningkatkan semangat selain memperbaiki kemahiran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:35 AM